Friday, July 20, 2012

AKIDAH RAMADHAN


Oleh 
Azhar Ghazali 
FB : www.facebook.com/im.azharghazali

Akidah Ramadhan

Pejam celik kini Ramadhan tiba lagi. Tahun lalu berpeluang sambut bulan mulia ini di tanah suci dan tahun ini di tanah air. Semestinya dapat membezakan betapa meriahnya Ramadhan di sesuatu tempat. Ianya adalah roh. Roh yang hanya dirasai oleh orang yang mencintai Ramadhan. Persoalannya apakah roh itu? Adakah ianya  dirasa pabila seseorang memaksa diri untuk solat sunat tarawih sampai 20 rakaat? Atau dirasa bila mampu memaksa diri tahan lapar dan dahaga dari pagi hingga petang.

Firman Allah yang maha agung bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan berpuasa ke atas kamu sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.
[al-Baqarah  : 183]

Dengan jelas, Allah menyatakan matlamat pensyariatan puasa itu adalah untuk mencapai 'taqwa'. Kita berfikir, bagaimana dengan menahan lapar itu mampu menjadikan orang bertaqwa? Walhal wujud situasi yang mana seseorang itu berpuasa tetapi dia tidak mengerjakan solat. Adakah puasa begini juga dikira bertaqwa.

Maknanya, soal puasa ini adalah soal keimanan, keyakinan dan tunduknya hamba kepada tuhannya. Kita boleh aje tak puasa tanpa pengetahuan sesiapa. Masuk tandas, langgah air paip. Bazar Ramadhan kini pula dibuka lebih awal. Jika dulu pukul 5 petang, sekarang ada yang dah mula pukul 12 tengahari. Maka sangat mudah untuk mendapatkan bekalan tak berpuasa. Makan diam-diam so takde sape yang tahu. Jika terkantoi pun masih boleh melepas diri dengan alasan 'terlupa niat'Jadi nampak di situ jika tidak ada iman, apa cara sekalipun boleh dibuat untuk tidak berpuasa.

Sebab itu ulama menekankan hadith nabi saw bermaksud :

"Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan setiap orang hanya memperolehi apa yang ia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya kerana Allah dan RasulNya maka hijrahnya itu kepada Allah dan RasulNya. Dan barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang akan ia memperolehinya atau kerana perempuan yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya itu kepada apa yang dihijrahkan kepadanya."
[HR : Bukhari, Muslim]

Jika niat berpuasa itu kerana malu kepada manusia, atau hanya seronok-seronok mengikut keadaan maka terjadilah berpuasa tapi tidak solat. Berpuasa lapar dan dahaga tapi mata, telinga, mulut, hati dan anggota yang lain terus mengerjakan mungkar.

Semua di atas adalah soal iman. Beribadah kerana Allah atau kerana yang selainNya. Nabi saw dengan jelas menekankan soal iman dalam berpuasa melalui hadith 'popular' Ramadhan dari Abu Hurairah yang bermaksud :

"Barangsiapa yang mendirikan malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, diampunkan dosanya yang telah lalu. Dan sesiapa yang berpuasa ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, diampunkan dosanya yang telah lalu."
[HR : Bukhari]

Dan dengan iman juga seseorang itu akan dimasukkan ke dalam syurga. Andai tidak punya iman, berpuasalah biar setahun, bertarawihlah ke siang hari nescaya tidak ada sehabuk keuntungan pun baginya. Seperti kata Imam al-Ghazali :

لا تـَصِحُّ الـْعِبَادَةُ إِلا بَعْدَ مَعْرِفَةِ الـْمَعْبُودِ

Ibadah tidak sah melainkan selepas mengenali Tuhan yang berhak disembah

Maka jadikanlah Ramadhan kali ini sebagai Ramadhan memasak iman. Dengan mendalami erti akidah agar kita mampu mengenali Allah dengan sebenar-benar kenal. Hinggakan kita mencintai Allah dan merindui Allah setiap masa dan ketika. Praktikalnya adalah dengan ilmu. Ceburkan diri dengan majlis ilmu yang membicarakan soal ilmu tauhid.

Moga Ramadhan ini membezakan takuk iman kita berbanding tahun-tahun yang lalu. Berpeganglah dengan akidah ahli sunnah wal jamaah.

Sunday, July 15, 2012

DOSA


Oleh
Azhar Ghazali

Dosa





Tinggal tak berapa hari lagi kita akan sambut Ramadhan. Ibarat menyambut bulan yang jatuh ke riba. Satu bulan yang sangat luar bisa berbanding bulan yang lain. Kelebihan yang ada padanya tidak bisa kita gambarkan dengan akal yang sejengkal. Tidak bisa kita lihat dengan mata yang lalai. Ulama selalu bagi nasihat, katanya dalam setahun ada 12 bulan. 11 bulan darinya adalah racun manakala 1 bulan yakni bulan Ramadhan adalah penawar kepada 11 bulan yang lain. Penawar dalam erti kata menghilangkan penyakit dosa yang parah di jiwa kita.

Maka yang kita faham, Ramadhan ni adalah bulan yang memang Allah  nak bagi kepada kita sebagai pengampun dosa. Soalnya untuk apa diampunkan dosa. Apa itu dosa dan teruk sangat ke dosa sampai kita disuruh suci darinya. Kalau kita tengok kisah ulama pula, ada yang sampai terkejut hingga mati bila disebut tentang dosa. Ada abid yang tak pernah sepi malamnya dari meminta ampun dari Allah. Tiap-tiap malam merayu, bertahajjud meminta maghfirah dan ada yang menangis hingga buta matanya.

Dari situ kita faham bahawa dosa memang satu perkara yang penting dan berat.

Dosa bermaksud; “Setiap perkara yang menyalahi perintah Allah sama ada kerana meninggalkan apa yang disuruhNya atau melakukan apa yang ditegahNya”. Dosa kerana meninggalkan yang disuruh seperti dosa orang yang mengabaikan solat, tidak berpuasa, tidak mengeluarkan zakat, tidak menutup aurat dan sebagainya. Dosa kerana melakukan tegahan Allah seperti dosa berzina, minum arak, mencuri, mengumpat, menipu dan sebagainya.



Dosa mengikut takrifan di atas merangkumi semua jenis dosa sama dosa-dosa besar atau dosa-dosa kecil. Sebahagian ulamak tidak bersetuju dengan pembahagian dosa kepada besar dan kecil. Antara mereka ialah Abi Ishaq al-Isfaraini, Qadhi Abu Bakar al-Baqilani, Imam al-Haramaian dan Abi Nashr al-Qusyairi. Bagi mereka semua dosa dan larangan Allah adalah besar belaka sebagaimana Ibnu Abbas r.a. pernah berkata;



كُلُّ مَاْ نَهَى اللهُ عَنْهُ فَهُوَ كَبِيْرَةٌ

“Setiap yang dilarang/ditegah Allah adalah besar”. (Riwayat Imam at-Thabrani)



Namun mengikut pandangan majoriti ulamak, dosa terbahagi kepada dua iaitu dosa-dosa besar dan dosa-dosa kecil. Pandangan majoriti ulamak inilah yang menepati al-Quran dan hadis kerana Allah berfirman;


“Jika kamu menjauhi dosa-dosa besar di antara dosa-dosa yang dilarang kamu mengerjakannya, niscaya Kami hapuskan kesalahan-kesalahanmu (dosa-dosamu yang kecil) dan Kami masukkan kamu ke tempat yang mulia (surga)”. (An-Nisa’:31)



Rasulullah s.a.w. juga bersabda;



اَلصَّلَوَاْتُ الْخَمْسُ وَ الْجُمْعَةُ إِلَى الْجُمْعَةِ وَ رَمَضَاْنَ إِلَى رَمَضَاْنَ مُكَفِّرَاْتُ مَاْ بَيْنَهُنَّ إِذَا اجْتُنِبَتِ الْكَبَاْئِرُ
“Solat lima waktu, solat jumaat hingga jumaat berikutnya dan ramadhan hingga ramadhan berikutnya menjadi penebus dosa-dosa (kecil yang berlaku) di sela-sela waktu tersebut selama dijauhi dosa-dosa besar”. 
(Riwayat Imam Ahmad, Muslim dan Tarmizi dari Abi Hurairah r.a.)



Ayat al-Quran dan hadis di atas jelas menunjukkan kepada kita bahawa di sana ada dosa-dosa besar dan ada dosa-dosa kecil.



Apa maksud dosa besar? Menurut Ibnu ‘Abbas r.a., dosa-dosa besar ialah; “Dosa-dosa yang ditetapkan hukuman had ke atasnya di dunia dan diancam dengan azab di akhirat atau diancam dengan laknat Allah dan kemurkaanNya”. Menurut Imam al-Haramain pula, “Dosa besar ialah dosa yang menampakkan bahawa pelakunya seorang yang kurang menjaga agamanya dan amat longgar pegangannya dengan agama di mana dosa ini menghilangkan al-‘adalah (sifat adil) pada diri seseorang (yakni orang yang melakukannya akan dianggap sebagai fasiq)”.



Apa yang lebih mudah ialah kita menilai dosa-dosa besar berdasarkan tanda-tandanya. Menurut Imam Ibnu Solah; “Tanda-tanda dosa besar antaranya ialah;

1.Diwajibkan hukuman hudud ke atasnya seperti dosa berzina, minum arak, qazaf, mencuri dan sebagainya.


2.Di ancam ke atasnya dengan azab neraka atau sebagainya di dalam al-Quran atau as-Sunnah seperti dosa menyelewengkan harta anak yatim (rujuk surah an-Nisa’, ayat 10), dosa lari dari medan peperangan (rujuk; surah al-Anfal, ayat 16), tidak mengeluarkan zakat, tidak menunaikan solat, mengumpat, mengadu domba dan sebagainya.


3.Disifatkan orang-orang yang melakukannya sebagai fasiq.


4.Dilaknat orang-orang yang melakukannya seperti dosa makan riba, dosa rasuah, dosa lelaki yang meniru gaya perempuan atau sebaliknya dan sebagainya.



Adapun dosa-dosa kecil, ia adalah dosa-dosa di bawah tahap atau batasan dosa-dosa besar tadi. Contoh dosa kecil ialah; melihat kepada bukan mahram, suka berbalah atau bertengkar, kencing atau berak dengan mengadap ke arah kiblat atau membelakanginya, bercakap di dalam masjid dengan perkara-perkara dunia semata-mata dan sebagainya.



Namun harus diingat bahawa walaupun dinamakan dosa kecil, tetapi ia bukanlah perkara yang boleh dipandang mudah atau remeh kerana Rasulullah s.a.w. bersabda;



إِيَّاْكُمْ وَ مُحَقَّرَاتِ الذُّنُوْبِ فَإِنَّهُنَّ يَجْتَمِعْنَ عَلَى الرَّجُلِ حَتَّى يُهْلِكْنَهُ
“Awasilah kamu sekelian dari dosa-dosa yang kecil/remeh. Sesungguhnya ia akan berkumpul pada diri seseorang sehingga akan memusnahkannya (dengan menjatuhkannya ke dalam dosa besar)”. 
(Riwayat Imam Ahmad, at-Thabrani dan al-Baihaqi dari Abdullah bin Mas’ud r.a.)



Malah dosa kecil dalam keadaan-keadaan tertentu akan berpindah menjadi dosa besar. Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulumiddin telah menjelaskan enam sebab suatu dosa kecil akan berubah menjadi dosa besar, iaitu;


1.Berterus-terusan melakukannnya

2.Memandang remeh terhadap dosa yang dilakukan

3.Gembira, bangga dan seronok apabila dapat melakukan dosa sehingga ia merasakan bahawa ia dapat melakukan dosa itu merupakan suatu nikmat. Ia lupa bahawa dosa adalah penyebab kepada kecelakaan.

4.Memandang remeh apabila Allah menutup dosanya dan menangguhkan pembalasan terhadapnya.

5.Melakukan dosa dan kemudian menyebut-nyebutnya di hadapan orang lain, atau melakukan dosa berterang-terangan di hadapan orang lain tanpa rasa malu sedikitpun.

6.Orang yang melakukan dosa kecil itu adalah orang alim.

between the suction :-
ilmudanulama.blogspot.com

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | ewa network review