Maka yang kita faham,
Ramadhan ni adalah bulan yang memang Allah nak bagi kepada kita sebagai
pengampun dosa. Soalnya untuk apa diampunkan dosa. Apa itu dosa dan teruk
sangat ke dosa sampai kita disuruh suci darinya. Kalau kita tengok kisah ulama
pula, ada yang sampai terkejut hingga mati bila disebut tentang dosa. Ada abid
yang tak pernah sepi malamnya dari meminta ampun dari Allah. Tiap-tiap malam
merayu, bertahajjud meminta maghfirah dan ada yang menangis hingga buta
matanya.
Dari situ kita faham
bahawa dosa memang satu perkara yang penting dan berat.
Dosa bermaksud; “Setiap
perkara yang menyalahi perintah Allah sama ada kerana meninggalkan apa yang
disuruhNya atau melakukan apa yang ditegahNya”. Dosa
kerana meninggalkan yang disuruh seperti dosa orang yang mengabaikan solat,
tidak berpuasa, tidak mengeluarkan zakat, tidak menutup aurat dan sebagainya.
Dosa kerana melakukan tegahan Allah seperti dosa berzina, minum arak, mencuri,
mengumpat, menipu dan sebagainya.
Dosa mengikut takrifan di atas merangkumi
semua jenis dosa sama dosa-dosa besar atau dosa-dosa kecil. Sebahagian ulamak
tidak bersetuju dengan pembahagian dosa kepada besar dan kecil. Antara mereka
ialah Abi Ishaq al-Isfaraini, Qadhi Abu Bakar al-Baqilani, Imam al-Haramaian
dan Abi Nashr al-Qusyairi. Bagi mereka semua dosa dan larangan Allah adalah
besar belaka sebagaimana Ibnu Abbas r.a. pernah berkata;
كُلُّ مَاْ نَهَى اللهُ عَنْهُ فَهُوَ كَبِيْرَةٌ
“Setiap
yang dilarang/ditegah Allah adalah besar”. (Riwayat Imam at-Thabrani)
Namun
mengikut pandangan majoriti ulamak, dosa terbahagi kepada dua iaitu dosa-dosa
besar dan dosa-dosa kecil. Pandangan majoriti ulamak inilah yang menepati al-Quran
dan hadis kerana Allah berfirman;
“Jika kamu menjauhi dosa-dosa besar di
antara dosa-dosa yang dilarang kamu mengerjakannya, niscaya Kami hapuskan
kesalahan-kesalahanmu (dosa-dosamu yang kecil) dan Kami masukkan kamu ke tempat
yang mulia (surga)”. (An-Nisa’:31)
Rasulullah s.a.w. juga bersabda;
اَلصَّلَوَاْتُ الْخَمْسُ وَ الْجُمْعَةُ إِلَى الْجُمْعَةِ وَ رَمَضَاْنَ إِلَى رَمَضَاْنَ مُكَفِّرَاْتُ مَاْ بَيْنَهُنَّ إِذَا اجْتُنِبَتِ الْكَبَاْئِرُ
“Solat
lima waktu, solat jumaat hingga jumaat berikutnya dan ramadhan hingga ramadhan
berikutnya menjadi penebus dosa-dosa (kecil yang berlaku) di sela-sela waktu
tersebut selama dijauhi dosa-dosa besar”.
(Riwayat Imam Ahmad, Muslim dan
Tarmizi dari Abi Hurairah r.a.)
Ayat al-Quran dan hadis di atas jelas menunjukkan
kepada kita bahawa di sana ada dosa-dosa besar dan ada dosa-dosa kecil.
Apa
maksud dosa besar? Menurut Ibnu ‘Abbas r.a., dosa-dosa besar ialah; “Dosa-dosa
yang ditetapkan hukuman had ke atasnya di dunia dan diancam dengan azab di
akhirat atau diancam dengan laknat Allah dan kemurkaanNya”. Menurut Imam
al-Haramain pula, “Dosa besar ialah dosa yang menampakkan bahawa pelakunya
seorang yang kurang menjaga agamanya dan amat longgar pegangannya dengan agama
di mana dosa ini menghilangkan al-‘adalah (sifat adil) pada diri seseorang
(yakni orang yang melakukannya akan dianggap sebagai fasiq)”.
Apa yang lebih
mudah ialah kita menilai dosa-dosa besar berdasarkan tanda-tandanya. Menurut
Imam Ibnu Solah; “Tanda-tanda dosa besar antaranya ialah;
1.Diwajibkan
hukuman hudud ke atasnya seperti dosa berzina, minum arak, qazaf, mencuri dan
sebagainya.
2.Di ancam ke atasnya dengan azab neraka atau sebagainya di dalam
al-Quran atau as-Sunnah seperti dosa menyelewengkan harta anak yatim (rujuk
surah an-Nisa’, ayat 10), dosa lari dari medan peperangan (rujuk; surah
al-Anfal, ayat 16), tidak mengeluarkan zakat, tidak menunaikan solat,
mengumpat, mengadu domba dan sebagainya.
3.Disifatkan orang-orang yang
melakukannya sebagai fasiq.
4.Dilaknat orang-orang yang melakukannya seperti
dosa makan riba, dosa rasuah, dosa lelaki yang meniru gaya perempuan atau
sebaliknya dan sebagainya.
Adapun dosa-dosa kecil, ia adalah dosa-dosa di
bawah tahap atau batasan dosa-dosa besar tadi. Contoh dosa kecil ialah; melihat
kepada bukan mahram, suka berbalah atau bertengkar, kencing atau berak dengan
mengadap ke arah kiblat atau membelakanginya, bercakap di dalam masjid dengan
perkara-perkara dunia semata-mata dan sebagainya.
Namun harus diingat bahawa
walaupun dinamakan dosa kecil, tetapi ia bukanlah perkara yang boleh dipandang
mudah atau remeh kerana Rasulullah s.a.w. bersabda;
إِيَّاْكُمْ وَ مُحَقَّرَاتِ الذُّنُوْبِ فَإِنَّهُنَّ يَجْتَمِعْنَ عَلَى الرَّجُلِ حَتَّى يُهْلِكْنَهُ
“Awasilah
kamu sekelian dari dosa-dosa yang kecil/remeh. Sesungguhnya ia akan berkumpul
pada diri seseorang sehingga akan memusnahkannya (dengan menjatuhkannya ke
dalam dosa besar)”.
(Riwayat Imam Ahmad, at-Thabrani dan al-Baihaqi dari
Abdullah bin Mas’ud r.a.)
Malah
dosa kecil dalam keadaan-keadaan tertentu akan berpindah menjadi dosa besar.
Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulumiddin telah menjelaskan enam sebab
suatu dosa kecil akan berubah menjadi dosa besar, iaitu;
1.Berterus-terusan
melakukannnya
2.Memandang remeh terhadap dosa yang dilakukan
3.Gembira, bangga
dan seronok apabila dapat melakukan dosa sehingga ia merasakan bahawa ia dapat
melakukan dosa itu merupakan suatu nikmat. Ia lupa bahawa dosa adalah penyebab
kepada kecelakaan.
4.Memandang remeh apabila Allah menutup dosanya dan
menangguhkan pembalasan terhadapnya.
5.Melakukan dosa dan kemudian
menyebut-nyebutnya di hadapan orang lain, atau melakukan dosa
berterang-terangan di hadapan orang lain tanpa rasa malu sedikitpun.
6.Orang
yang melakukan dosa kecil itu adalah orang alim.
between the suction :-
ilmudanulama.blogspot.com