Friday, September 21, 2012

LUKA AL-QURAN BELUM KERING, LUKA RASULULLAH PULA BERDARAH

Oleh 
Azhar Ghazali
FB : www.facebook.com/im.azharghazali

Luka al-Quran Belum Kering, Luka Rasulullah Pula Berdarah

 
Beberapa bulan yang lalu kita menangis bila al-Quran kita dibakar dan dipijak sang kafir. Sedangkan beberapa tahun yang lalu kita sudah kuat melenting bila karikatur kekasih mulia, Rasulullah dicipta hina. Kali ini kita terluka lagi, sebuah filem panjang dilakon khas menghina Rasulullah dan memapar imej buruk Islam.

Bermula di utara, bawa ke selatan Malaysia rata-rata tidak berpuas hati. NGO, persatuan, badan masyarakat, individu dan parti politik langsung melancar kempen popular membantah isu ini. Perkara sama berlaku di seluruh dunia. Persoalan, untuk siapa bantahan ini. Jika untuk Amerika dan Israel, sudah lama mereka tidak hiraukan bantahan-bantahan ini. Bagi mereka, ini seperti budak kecil yang menangis meminta bapanya membeli sesuatu. Terpulang pada si bapa nak beli atau tidak.
Filem Innocent Of Muslim mengundang kemarahan umat Islam

Ada baiknya juga dengan demonstrasi aman kerana hanya itu yang kita mampu. Tapi ingat, kesannya tidaklah sejauh mana pun. Tidak sedikitpun menggentarkan musuh. Dan mungkin akan sampai ke satu masa nanti anak-anak muda tidak dapat lagi turun berdemontrasi kerana masing-masing punya hal sendiri dan tidak tahu mengapa perlu berdemo. Sedangkan Rasulullah pun tidak dikenali. Ini kerana pengetahuan agama sudah tiada.

Satu perkara yang menggentarkan musuh dan membuat mereka tidak senang, tidur tidak lena walaupun tanpa mengangkat senjata dan berdemonstrasi ialah melihat anak muda mula sibuk dengan ilmu. Ilmu apa? Ilmu mengenal pencipta agar sedar diri ini hambaNya. Ilmu memahami syariat agar kehidupan berlandas agama. Menghayati akhlak Rasulullah agar bersih diri dari sifat tercela.

Jika ini yang berlaku, nescaya itulah petanda si kafir laknatullah akan lenyap. Tidak salah jika saya katakan pendidikan sekular di Malaysia ini terlalu songsang. Yang wajib ditinggal lupa, yang bawah diangkat julang. Anak muda lebih mengenal isi perut katak berbanding siapa yang menghidupkannya. Lebih tahu isi alam cakerawala dan sistemnya dari menyedari siapa penciptanya.

Siapa berhak mengubah? Kerajaan. Jika kerajaan tidak dapat mengubah hal ini, maka kerajaan perlu diubah barangkali.

Wednesday, September 19, 2012

USAH KENANG HARI MUDA YANG JAHAT



Oleh 
Azhar Ghazali
FB : www.facebook.com/im.azharghazali


Usah Dikenang Hari Muda Yang Jahat

Nasihat Imam Ibnul Wardi :

"Jangan kau ingati hari mudamu yang penuh dengan babak-babak kejahilan, kerana hari-hari itu ibarat bintang yang tenggelam."

Keterangan : Jangan kau suka mengingati babak-babak kekurangan/ kesilapan dan segala tindakan yang kurang wajar engkau lakukan di masa mudamu. Biarlah hari-hari itu berlalu dan tak perlu diingati lagi, kerana mengingatinya akan menimbulkan rasa kejahilan dan kembali kepada alam kanak-kanak. Sebaliknya, hendaklah kamu merancang untuk masa depan yang lebih cemerlang dan teratur.

Siapa yang dapat lari dari melakukan kesilapan, kesalahan dan kekhilafan. Ada yang Allah pelihara, dia just buat dosa kecil, dan ada yang terlanjur melakukan dosa besar. Tidak ada apa yang dapat menyelamatkan seseorang itu tanpa 'taubat'. Tidak ada penyesalan maka tidak ada penyucian diri.

Dengan bertaubat, segala dosa yang lalu akan Allah ampunkan. Diri yang keji dan jijik kembali bersih di sisiNya. Namun ingatan ini tidak dapat menipu diri. Menutup dari apa yang pernah berlaku. Ingatan ini pasti sentiasa ingat lumpur hitam yang pernah terpalit di tubuh dan menutup hati. Terkadang dosa ngeri ini terus mematahkan semangat mukmin yang mula mekar. Racun dosa yang sangat berbisa ini mematikan jiwa yang mula basah dengan rahmat.

Aib ini memakan dan meratah jiwa yang tandus. Membaham tanpa kesian. Hanya air mata yang dapat menghentikannya. Walaupun ianya terpapar di lurah pipi namun ia mampu membuat diri ini merasa dekat denganNya.

Ya Allah, hanya engkaulah yang berhak menentukan syurga kami. Jangan kau putuskan tali rahmat yang menambat kami. Jauhkan kami dari najis jijik yang lalu. Kami memandang ke hadapan dengan harapan rahmatMu yang tidak pernah putus. Luas dan jauh terhampar buat pemburunya.

"Jangan kau ingati hari mudamu yang penuh dengan babak-babak kejahilan, kerana hari-hari itu ibarat bintang yang tenggelam."

Ya Rasulullah, kami merindui mu..

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | ewa network review