Monday, January 16, 2012

TOK SYEIKH DAUD AL-FATHANI

Oleh
Azhar Ghazali

TOKOH ULAMA NUSANTARA

Tok Syeikh Daud al-Fathani

Nama sebenarnya ialah Daud bin Abdullah bin Idris al-Jawi al-Fathani al-Malayuwi yang lebih  dikenali dengan panggilan Tok Sheikh Daud Fathani. Dilahirkan di Kampung Parit Marhum di selatan bandar Fathani pada tahun 1183H/1769M (bulan dan harinya tidak dinyatakan)

Syeikh Daud al-Fathani
(1183H-1263H)
Beliau mendapat pendidikan awal di kampung tempat lahirnya. Ketika masih remaja beliau merantau ke Aceh untuk mendalami ilmu agama setelah beliau mendapat tahu di sana ramai para alim ulama yang terkenal dengan keilmuannya. Setelah dua tahun berada di Aceh beliau kembali semula ke tanah tumpah darahnya di Fathani. Tidak berapa lama selepas itu, ketika usianya menjangkau 18 tahun, beliau berangkat ke Tanah Suci Makkah untuk mengerjakan ibadah haji.

Mengikut cerita ketika hendak berangkat pulang ke tanah air dengan kapal laut melalui Pelabuhan Jeddah setelah selesai mengerjakan ibadat haji, disebabkan sedikit kesilapan teknikal, beliau terkandas di pelabuhan dan tidak dapat berangkat pulang ke tanah airnya. Jesteru beliau membuat keputusan berpatah balik ke Makkah dan terus menetap di Makkah untuk mendalami lagi ilmu agama. Selama hampir 30 tahun di Makkah, beliau banyak menimba ilmu agama dan berguru dengan beberapa orang tokoh ulama yang ternama. Selepas itu beliau berpindah dan menetap pula di Madinah selama 5 tahun untuk mendalami lagi ilmu agamanya.
Setelah tamat pengajian dengan ilmu yang penuh di dada, beliau tidak terus kembali ke tanah airnya tetapi membuat keputusan untuk terus menetap di Makkah bagi menyebarkan ilmu pengetahuannya kepada umat Islam sejagat. Beliau menjadikan Masjil al-Haram sebagai tempat menyampaikan kuliah dan pengajarannya. Melalui beliau lahirlah tokoh-tokoh yang ternama, mahir dan arif dalam soal-soal agama.


Beliau sempat membeli sebidang tanah di Taif untuk membina sebuah rumah kediaman. Di akhir hayatnya beliau berpindah dan terus tinggal di Taif. Selain mengajar ilmu-ilmu agama, beliau juga banyak menghasilkan buku-buku ilmiah yang mahsyur dan masih diguna pakai hingga ke hari ini. Mengikut setengah cerita, beliau berjaya menghasilkan sebuah buku setiap tahun. Di samping itu beliau juga banyak menterjemah buku-buku dari bahasa Arab ke bahasa Melayu. Antaranya ialah kitab yang bernama Furu’ al-Masail.
Setelah menghabiskan sisa-sisa usianya berkhidmat kerana Allah, mengembangkan ilmu ke jalan Allah, akhirnya beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir di kediamannya di Taif pada hari Khamis tanggal 22 Rejab 1263H ketika usianya menjangkau hampir 80 tahun. Jenazahnya disemadikan berhampiran kubur Sayidina Abdullah bin Abbas iaitu sepupu Rasulullah SAW yang wafat pada tahun 68 Hijrah.

Reference by
- Furu' al- Masail (2010). Telaga Biru SDN. BHD.

0 comments:

Post a Comment

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | ewa network review