Tuesday, May 7, 2013

KALAH UNTUK MATANG (PRU 13)

Oleh Azhar Ghazali 
FB : www.facebook.com/im.azharghazali 

Kalah Untuk Matang

   Alhamdulillah selesai sudah PRU 13 dengan menyaksikan pertambahan kerusi Parlimen di pihak Pakatan Rakyat. Parti Islam Semalaysia (Pas) telah menunjukkan prestasi yang baik dengan penguasaan di beberapa kerusi dun dan parlimen seluruh Malaysia. Meskipun begitu, sebagai anak Kedah tentu sukar bagi menerima kenyataan bahawa Kedah beralih tampuk pimpinan.

Manifesto Pakatan Rakyat PRU13
   Bukan sedih kerana hilang kuasa memerintah. Tapi sedih bila memikirkan agenda pembangunan pendidikan yang direncana oleh kerajaan Pas sebelum ini. Adakah akan diteruskan atau sebaliknya. Lazimnya tiada lagi perjalanan itu kerana lain driver lain arahnya. Walaupun kita sebagai penumpang ada hak memberi cadangan tapi kuasa sepenuhnya ada di tangan driver. Jika dia kata kanan, kananlah. Jika kiri, kirilah kita.
  
   Saya juga bersedih bila mengenangkan usaha gigih teman-teman sebelum pilihanraya dan membayangkan kembali wajah sayu mereka di malam keputusan PRU. Ya, memang jentera BN juga berusaha keras tapi jentera pemuda Pas ini bekerja dengan sepenuh jiwa. Hingga bendera yang dikibar, poster terpasang semuanya dengan duit poket sendiri. Kerja kilang menunggu gaji, dihabiskan beli bendera. Kita tidak punya peruntukan khas berbanding BN yang terlabur duit dengan mudah. Ini bezanya kita dengan mereka. Kita konvoi minyak tuang sendiri, mereka duit minyak diberi.

   Saya menghubungi beberapa rakan yang memang orang kuat dalam saf pimpinan, ternyata jawapan yang saya dapat adalah sama macam yang difikirkan sebelum PRU lagi. Bahkan tak keterlaluan kalau saya katakan Allah tarik semula Kedah kerana sikap kita yang tidak bersyukur. Ini mengingatkan saya tentang ungkapan Tuan Guru Hj Salleh Sik yang menghuraikan satu ayat dari surah Ibrahim, "Jika kamu bersyukur, jaga elok-elok Kedah ni maka Allah akan tambah lagi nikmat dengan diberi Putrajaya. Namun jika kamu kufur, tak jaga elok-elok Kedah ni maka nantikan azab, Allah ambil balik nikmat." Kata-kata sewaktu amanat sebelum pilihanraya.

Tuan Guru Hj Salleh Musa (Ulama Rujukan Kerajaan Pas Kedah)
   Fikiran saya membayangkan isu dalam Pas di beberapa kawasan. Isu jatuh menjatuh sesama pimpinan kawasan. Mengkritik pemimpin tanpa adab. Berebut jawatan. Mendabik dada bila dilantik ahli majlis. Meminggirkan ahli dan orang ramai. Tidak telus dalam pengurusan. YB tidak menepati janji. Ini semua bukanlah isu yang besar berbanding kesalahan UMNO BN yang melenyapkan wang rakyat RM403 juta. Tetapi isu kecil ini lebih terasa di hati pak long, mak long, ustaz, pak haji di kampung-kampung.

   Di Baling contohnya, boleh dikatakan kubu kuat Pas lantaran penyokong yang aktif. Tetapi sebaliknya ada ahli sendiri dan masyarakat ramai yang terguris bila Ust Taib Azamuddin (Bekas Imam Besar Masjid Negara/ Ahli Parlimen Baling-Pas) dijatuhkan di peringkat kawasan dengan sebab yang tidak jelas. Mungkin alasan mengapa Ust Taib perlu dijatuhkan  adalah jelas kepada kumpulan penjatuhnya tetapi ianya tidak jelas kepada orang-orang bawahan yang ternyata sangat menyayangi Ust Taib. Akhirnya Cikgu Jo (mantan ADUN Kupang), seorang pemimpin yang hebat. Tidak pernah ketinggalan dalam mempedulikan rakyat. Sebut saja di mana ada kematian, di mana banjir, di mana musibah menimpa pasti beliau sampai di situ. Tapi dek kerana undi protes ini, beliau yang saya anggap sebagai ADUN berwibawa ini tewas. Lebih menyedihkan Dato Najmi (Calon Pas Parlimen Baling) turut menjadi mangsa protes ini. Bagi saya kekalahan ini akan mengajar Pas Kawasan Baling untuk jadi lebih baik dan mantap.

   Di peringkat negeri, saya melihat dari kaca mata golongan sebaya. Setelah mengutip pandangan dari beberapa rakan pemuda maka gambaran yang sama diperlihatkan. Sikap exco negeri yang lantang mengkritik kepimpinan Ust Azizan antara sebab mengapa pengajaran kekalahan ini kita perlukan. Tidak salah mengkritik dan sebuah kerajaan yang baik memang perlukan kritikan tetapi teknik mengkritik perlu ada. Strategi perlu ada. 

   Tidak perlu perkara yang hanya dibincang di dalam rumah dibawa ke umum hingga menjadi peluang musuh mengintai peluang. Bahkan ia menjerumus ke arah salah faham rakyat bawahan yang beranggapan kepimpinan Ust Azizan lemah. Maka saya ucapkan tahniah kepada YB Phahrolrazi. Saya tidak menyalahkan beliau, ini adalah pandangan yang saya pungut dari rakan-rakan. Perkara yang sama pernah saya bincangkan bersama beliau sewaktu di Hotel Janadriah, Saudi musim haji 2011. Tetapi ketika itu juga beliau tetap mengkritik Ust Azizan. Saya percaya beliau juga belajar banyak perkara melalui anugerah Allah dalam PRU 13 ini terutama soal perebutan jawatan.

   Di kawasan Padang Serai pula, terdapat undi protes setelah kegagalan YB melunaskan janji. Walaupun ianya tidak memberi kesan kekalahan tapi hakikatnya mengapa isu kecil sebegini timbul dan tak mustahil jika perkara sama berulang akan menyumbang kepada kekalahan juga. Apa isunya, YB berjanji memberikan kambing jika menang PRU12. Namun ada yang masih menangguk janji di air yang keroh. Tidak kelihatan meskipun cucu sudah beranak empat.

   Maka perkara-perkara ini sengaja saya bangkitkan agar menjadi teladan buat semua khususnya pimpinan di peringkat cawangan, kawasan hatta perhubungan negeri. Saya juga yakin, perkara yang sama berlaku kepada Terengganu kini. Setelah belajar dari kesilapan lalu, kini Pas Terengganu lebih mantap mengatur langkah dan keadaan. Buktinya dengan penguasaan ke atas beberapa kerusi tambahan. Prestasi yang baik ini atas kesediaan Pas memerintah kembali setelah belajar dari kesilapan lalu seperti isu penutupan tadika dan balak. Walaupun ianya isu kecil yang dibelit-belitkan media kerajaan tetapi tetap memberi kesan kepada pengundi golongan pertengahan.

Musuh menggunakan peluang bagi memburukkan imej. Rakyat menjadi mangsa keliru.
   Apa yang boleh saya simpulkan, kekalahan di Kedah ini juga anugerah agung dari Allah. Maka sahabat-sahabat sekelian, jangan bersedih dan berputus asa. Saya mengingat kembali pesanan Tuan Guru Hj Saleh (Ulama Rujukan Kerajaan Pas Negeri Kedah), "Walau apa pun jadi dengan Pas, dihempap badai, tergolek pun, mesti tetap duduk dalam Pas. Bantu dan terus berjuang. Golongan dunia tu nanti Allah akan keluarkan. Tugas kita adalah berjuang." Duhai teman-teman, perjuangan kebenaran kita mesti disuburi dengan siraman ilmu. Ambil semula roh Uhud dan Khaibar untuk tekun menadah ilmu. Medan mendatang kita lebih mantap dalam saf pejuang.

Salam perjuangan.
Azhar Ghazali

*Sewaktu saya menyiapkan tulisan ini, dapat berita kematian Ust Azizan, Bekas Menteri Besar Kedah. Seperti jatuh ditimpa tangga. Namun berita ini dinafikan S/U Ust Azizan mengatakan beliau hanya tidak sedarkan diri selepas disuntik. Wallahua'lam.

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | ewa network review