Tuesday, August 27, 2013

NAZAR

Oleh Azhar Ghazali (UAG) 
FB : www.facebook.com/im.azharghazali

Nazar

Pengertian Nazar
Nazar dari segi bahasa bermakna perjanjian yang baik atau yang buruk manakala dari segi syara' pula dikhususkan kepada perjanjian yang baik sahaja.

Menurut istilah ulama fiqh, nazar bermaksud membuat iltizam untuk melakukan sesuatu kebajikan yang tidak wajib dari segi syara', samada dikaitkan dengan sesuatu ataupun tidak.

Pertama : Dalil pensyariatan nazar dan wajib menunaikan berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah.

1. Al-Quran :
Firman Allah SWT yang bermaksud :
"(Mereka dikurniakan kesenangan itu kerana) mereka menyempurnakan nazarnya (apatah lagi yang diwajibkan Tuhan kepadaNya), serta mereka takutkan hari (akhirat) yang azab siksanya merebak di sana sini".
[al-Insan ; 7]
Dan lagi firman Allah SWT yang bermaksud :
"Dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya".
[al-Hajj ; 29]

2. Al-Sunnah :
Daripada Aisyah RAA, sabda Nabi SAW yang bermaksud :
"Sesiapa yang bernazar mentaati Allah hendaklah dia mentaatinya, dan sesiapa yang bernazar untuk berbuat maksiat terhadap Allah janganlah dia melakukannya".
[HR Bukhari]

Daripada Imran bin Husain, Nabi SAW bersabda tentang mereka yang tidak menunaikan nazar :
Maksudnya : "Selepas kamu nanti akan terdapat golongan yang khianat, tidak beramanah, menjadi saksi tanpa diminta, bernazar tetapi tidak menunaikannya dan masing-masing kelihatan gemuk-gemuk belaka".
[HR Bukhari & Muslim]


Hukum Bernazar
Nazar ialah jenis ibadah yang disyariatkan untuk mendampingi Allah SWT. Justeru, menurut ulama fiqh, ia tidak sah daripada orang kafir. Bagaimana, seseorang itu afdhal terus melakukan ibadah yang dikehendaki tanpa membuat iltizam dengan bernazar. Ini bererti, sedekah yang dilakukan oleh seseorang secara bebas (اختيار) sebagai ibadah mendampingi Allah SWT lebih baik daripada sedekah yang dinazarkan.

Ini berdasarkan hadith Rasulullah SAW melarang seseorang bernazar, sabdanya bermaksud :
"Ia tidak boleh menolak sesuatu tetapi dengan nazar yang dibuat, si bakhil terpaksa menunaikannya".
[HR Bukhari & Muslim]

Ini bererti, nazar yang dikaitkan dengan sesuatu tidak akan mengubahnya sebagaimana yang ditetapkan oleh qadha' Allah. Ia hanya merupakan cara si bakhil memastikan dirinya berbelanja dan bersedekah. Ini kerana dia sendiri mengetahui bahawa sekiranya tidak menjadi wajib dengan sebab nazar itu, dia tidak akan mampu memaksa dirinya mengeluarkan belanja dan sedekah tersebut.

Monday, August 26, 2013

ZAKAT

Oleh Azhar Ghazali (UAG) 
FB : www.facebook.com/im.azharghazali

Zakat

   Perkataan zakat (الزكاة) diambil daripada (زكا الشىء) yang bermaksud sesuatu itu bertambah dan subur. Begitu juga (زكا الزرع وزكت التجاره) yang bermaksud tanam-tanaman dan perniagaan subur (maju) dan bertambah.

Zakat juga beerti bersih. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT :

قد أفلح من زكاها
Maksudnya : Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan).
[asy-Syams ; 9]

Berdasarkan ayat di atas, orang yang berjaya adalah orang yang membersihkan dirinya daripada segala akhlak yang buruk. Pengertian zakat menurut istilah syara' ialah kadar tertentu yang diambil daripada sebahagian harta tertentu, yang wajib diberikan kepada golongan tertentu apabila cukup syarat-syarat yang ditentukan.



Harta yang diberikan kepada golongan tertentu itu dinamakan zakat. Ini adalah kerana pengagihan tersebut dan dengan doa penerimanya akan menyebabkan baki hartanya menjadi subur dan bertambah berkat. Mengeluarkan zakat juga beerti membersihkan harta daripada sebarang perkara syubhah. Dengan kata lain ia akan mengeluarkan hak orang lain yang ada dalam harta berkenaan terutama hak orang yang benar-benar berhajat dan memerlukannya.

Sejarah Pensyariatan Zakat
Pendapat ulama yang sahih menyatakan zakat mula disyariatkan pada tahun kedua setelah Nabi SAW berhijrah ke Madinah tidak berapa lama sebelum ibadah puasa difardhukan ke atas umat Islam.

Hukum dan Dalil Pensyariatan Zakat
Zakat merupakan rukun Islam yang paling penting. Hukum zakat mempunyai dalil-dalil muktamad (القطعى) dari sudut petunjuk (الدلالة) dan thabitnya. Ia menjadikan hukum zakat itu jelas dan mesti (wajib) diketahui dari sudut agama. Oleh itu hukum orang yang menafikan wajib zakat adalah zakat.
Hal ini bedasarkan firman Allah SWT yang bermaksud :

"Dan dirikanlah kamu akan sembahnyang dan keluarkanlah zakat"
[al-Baqarah ; 43]

Perintah mengeluarkan zakat disebut sebanyak 32 kali di dalam al-Quran. Menurut sunnah, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Islam itu dibina atas lima perkara : Bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad utusan Allah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan haji dan berpuasa di bulan Ramadhan".
[HR Bukhari dan Muslim]

Hadith seterusnya, Rasulullah SAW bersabda kepada Mu'az RA ketika baginda mengutuskannya ke Yaman :
Maksudnya : "Jika mereka mematuhi perkara itu, beritahulah mereka bahawa Allah mewajibkan zakat ke atas mereka yang diambil dari orang kaya lalu diagih-agihkan kepada orang fakir di kalangan mereka".
[HR Muslim]

Hikmah dan Faedah Zakat
Zakat mempunyai hikmah dan faedah yang banyak. Ia adalah untuk kebaikan pengeluar zakat dan juga penerimanya. Faedah zakat juga dapat dinikmati oleh individu dan masyarakat. Antara hikmah dan faedah tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Amalan berzakat boleh mambiasakan diri pengeluarnya supaya bersifat pemurah dan suka mengerjakan ibadah qurban. Amalan itu juga boleh membuang sifat kedekut dan unsur-unsur bakhil. Hakikat ini dapat dirasai oleh pengeluar zakat dan dia juga menyedari bahawa zakat itu lebih ketara kepada penambahan harta daripada menguranginya.

Sepertimana yang ditegaskan oleh Rasulullah SAW dengan sabdanya yang bermaksud :

"Zakat itu tidak mengurangi harta".
[HR Muslim]

Persoalannya : Bagaimanakah dikatakan zakat itu akan mengurangi harta, sedangkan Allah memberkati harta yang tinggal dengan sebab berzakat?
Jawapan : Allah akan menjauhkan harta tersebut daripada sesuatu yang memudharatkannya dan memeliharanya daripada gangguan manusia. Selain daripada perkara tersebut, Allah juga menunjukkan cara-cara untuk memanfaatkan dan mengembangkan harta tersebut kepada pemiliknya. Di samping itu, Allah memberikan ganjaran pahala yang besar kerana mengeluarkan harta semata-mata untuk keredhaanNya.

Kedua : Zakat boleh menguatkan hubungan persaudaraan dan kasih sayang antara pengeluar zakat dengan orang lain. Apabila kesedaran ini wujud dalam masyarakat, setiap orang Islam mampu menunaikan kewajipan mengeluarkan zakat kepada pihak yang berhak menerimanya. Ianya dapat dilihat betapa eratnya jalinan kasih sayang sesama individu di kalangan orang Islam dan masyarakat keseluruhannya.

Ketiga : Berperanan untuk memastikan sesebuah anggota masyarakat itu menjad sempurna. Meskipun begitu, terdapat pelbagai keadaan dan unsur-unsur yang meluaskan jurang perbezaan taraf sosial iaitu bertambahnya golongan yang memerlukan bantuan serta golongan fakir. Zakat berfungsi memelihara masyarakat daripada jurang perbezaan taraf sosial yang ketara.

Keempat : Zakat memainkan peranan dalam menangani masalah pengangguran. Antara sebab utama yang menyumbang kepada pengangguran ialah kemiskinan. Orang yang miskin tidak mempunyai modal yang minimum untuk menjalankan sesuatu perusahaan atau pekerjaan. Oleh itu, jika sistem zakat berjalan mengikut haknya, sudah tentu orang yang miskin berhak menerima bahagian dan membolehkan mereka menjalankan perusahaan yang dirancang sesuai dengan kemahiran dan kelayakan yang ada pada mereka.

Kelima : Zakat merupakan cara yang dapat membersihkan hati daripada sifat-sifat keji yang memberi kesan kepada masyarakat, iaitu sifat berdendam, iri hati dan hasad dengki. Bagaimanapun sifat tersebut akan menjadi barah dalam masyarakat jika tiada lagi sifat berkasih sayang, tolong-menolong dan saling bersimpati. Fenomena ini bukan hanya propaganda yang dilaung-laungkan sahaja malah ia telah menjadi satu realiti yang nyata dan bukan fantasi yang direka. Apabila zakat dilaksanakan, hasilnya akan jelas kelihatan dan kesannya yang menakjubkan. Oleh itu, ia dapat membersihkan jiwa daripada sifat hasad dengki dan iri hati serta dapat mengeratkan hubungan persaudaraan sekalipun mereke berbeza dari segi kemewahan dan kekeyaan. Ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud :


"Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan menyucikan mereka (dari akhlak yang buruk)".
[at-Taubah ;103]

Hukum Orang Yang Enggan Mengeluarkan Zakat
Pertama : Orang yang enggan mengeluarkan zakat kerana mengingkari kewajipannya.
Zakat merupakan rukun Islam ketiga selepas mengucap dua kalimah syahadah dan mendirikan solat. Oleh itu ulama bersepakat menyatakan bahawa orang yang menentang dan mengingkari zakat adalah kafir dan murtad. Darahnya halal dibunuh sekiranya tidak bertaubat. Ini kerana zakat perkara yang mudah diketahui kefardhuannya di kalangan orang Islam yang tidak memerlukan kepada hujah dan dalil.

Imam Nawawi RH menukilkan di dalam kitab al-Khattabi dengan menyatakan : "Sesiapa yang mengingkari kewajipan berzakat pada masa ini adalah kafir berdasarkan ijma'". Katanya lagi : "Pengetahuan tentang kewajipan berzakat telah tersebar luas di kalangan orang Islam sehingga telah diketahui oleh rakyat dan penguasa, termasuk orang alim dan jahil. Oleh itu tiada alasan bagi sesiapapun membuat tafsiran sendiri untuk mengingkarinya. Begitulah juga hukumnya bagi orang yang mengingkari sesuatu perkara agama yang telah disepakati oleh ulama seperti solat lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, mandi junub, pengharaman zina, perkahwinan dan hukum-hukum yang lain".


Tuesday, May 7, 2013

KALAH UNTUK MATANG (PRU 13)

Oleh Azhar Ghazali 
FB : www.facebook.com/im.azharghazali 

Kalah Untuk Matang

   Alhamdulillah selesai sudah PRU 13 dengan menyaksikan pertambahan kerusi Parlimen di pihak Pakatan Rakyat. Parti Islam Semalaysia (Pas) telah menunjukkan prestasi yang baik dengan penguasaan di beberapa kerusi dun dan parlimen seluruh Malaysia. Meskipun begitu, sebagai anak Kedah tentu sukar bagi menerima kenyataan bahawa Kedah beralih tampuk pimpinan.

Manifesto Pakatan Rakyat PRU13
   Bukan sedih kerana hilang kuasa memerintah. Tapi sedih bila memikirkan agenda pembangunan pendidikan yang direncana oleh kerajaan Pas sebelum ini. Adakah akan diteruskan atau sebaliknya. Lazimnya tiada lagi perjalanan itu kerana lain driver lain arahnya. Walaupun kita sebagai penumpang ada hak memberi cadangan tapi kuasa sepenuhnya ada di tangan driver. Jika dia kata kanan, kananlah. Jika kiri, kirilah kita.
  
   Saya juga bersedih bila mengenangkan usaha gigih teman-teman sebelum pilihanraya dan membayangkan kembali wajah sayu mereka di malam keputusan PRU. Ya, memang jentera BN juga berusaha keras tapi jentera pemuda Pas ini bekerja dengan sepenuh jiwa. Hingga bendera yang dikibar, poster terpasang semuanya dengan duit poket sendiri. Kerja kilang menunggu gaji, dihabiskan beli bendera. Kita tidak punya peruntukan khas berbanding BN yang terlabur duit dengan mudah. Ini bezanya kita dengan mereka. Kita konvoi minyak tuang sendiri, mereka duit minyak diberi.

   Saya menghubungi beberapa rakan yang memang orang kuat dalam saf pimpinan, ternyata jawapan yang saya dapat adalah sama macam yang difikirkan sebelum PRU lagi. Bahkan tak keterlaluan kalau saya katakan Allah tarik semula Kedah kerana sikap kita yang tidak bersyukur. Ini mengingatkan saya tentang ungkapan Tuan Guru Hj Salleh Sik yang menghuraikan satu ayat dari surah Ibrahim, "Jika kamu bersyukur, jaga elok-elok Kedah ni maka Allah akan tambah lagi nikmat dengan diberi Putrajaya. Namun jika kamu kufur, tak jaga elok-elok Kedah ni maka nantikan azab, Allah ambil balik nikmat." Kata-kata sewaktu amanat sebelum pilihanraya.

Tuan Guru Hj Salleh Musa (Ulama Rujukan Kerajaan Pas Kedah)
   Fikiran saya membayangkan isu dalam Pas di beberapa kawasan. Isu jatuh menjatuh sesama pimpinan kawasan. Mengkritik pemimpin tanpa adab. Berebut jawatan. Mendabik dada bila dilantik ahli majlis. Meminggirkan ahli dan orang ramai. Tidak telus dalam pengurusan. YB tidak menepati janji. Ini semua bukanlah isu yang besar berbanding kesalahan UMNO BN yang melenyapkan wang rakyat RM403 juta. Tetapi isu kecil ini lebih terasa di hati pak long, mak long, ustaz, pak haji di kampung-kampung.

   Di Baling contohnya, boleh dikatakan kubu kuat Pas lantaran penyokong yang aktif. Tetapi sebaliknya ada ahli sendiri dan masyarakat ramai yang terguris bila Ust Taib Azamuddin (Bekas Imam Besar Masjid Negara/ Ahli Parlimen Baling-Pas) dijatuhkan di peringkat kawasan dengan sebab yang tidak jelas. Mungkin alasan mengapa Ust Taib perlu dijatuhkan  adalah jelas kepada kumpulan penjatuhnya tetapi ianya tidak jelas kepada orang-orang bawahan yang ternyata sangat menyayangi Ust Taib. Akhirnya Cikgu Jo (mantan ADUN Kupang), seorang pemimpin yang hebat. Tidak pernah ketinggalan dalam mempedulikan rakyat. Sebut saja di mana ada kematian, di mana banjir, di mana musibah menimpa pasti beliau sampai di situ. Tapi dek kerana undi protes ini, beliau yang saya anggap sebagai ADUN berwibawa ini tewas. Lebih menyedihkan Dato Najmi (Calon Pas Parlimen Baling) turut menjadi mangsa protes ini. Bagi saya kekalahan ini akan mengajar Pas Kawasan Baling untuk jadi lebih baik dan mantap.

   Di peringkat negeri, saya melihat dari kaca mata golongan sebaya. Setelah mengutip pandangan dari beberapa rakan pemuda maka gambaran yang sama diperlihatkan. Sikap exco negeri yang lantang mengkritik kepimpinan Ust Azizan antara sebab mengapa pengajaran kekalahan ini kita perlukan. Tidak salah mengkritik dan sebuah kerajaan yang baik memang perlukan kritikan tetapi teknik mengkritik perlu ada. Strategi perlu ada. 

   Tidak perlu perkara yang hanya dibincang di dalam rumah dibawa ke umum hingga menjadi peluang musuh mengintai peluang. Bahkan ia menjerumus ke arah salah faham rakyat bawahan yang beranggapan kepimpinan Ust Azizan lemah. Maka saya ucapkan tahniah kepada YB Phahrolrazi. Saya tidak menyalahkan beliau, ini adalah pandangan yang saya pungut dari rakan-rakan. Perkara yang sama pernah saya bincangkan bersama beliau sewaktu di Hotel Janadriah, Saudi musim haji 2011. Tetapi ketika itu juga beliau tetap mengkritik Ust Azizan. Saya percaya beliau juga belajar banyak perkara melalui anugerah Allah dalam PRU 13 ini terutama soal perebutan jawatan.

   Di kawasan Padang Serai pula, terdapat undi protes setelah kegagalan YB melunaskan janji. Walaupun ianya tidak memberi kesan kekalahan tapi hakikatnya mengapa isu kecil sebegini timbul dan tak mustahil jika perkara sama berulang akan menyumbang kepada kekalahan juga. Apa isunya, YB berjanji memberikan kambing jika menang PRU12. Namun ada yang masih menangguk janji di air yang keroh. Tidak kelihatan meskipun cucu sudah beranak empat.

   Maka perkara-perkara ini sengaja saya bangkitkan agar menjadi teladan buat semua khususnya pimpinan di peringkat cawangan, kawasan hatta perhubungan negeri. Saya juga yakin, perkara yang sama berlaku kepada Terengganu kini. Setelah belajar dari kesilapan lalu, kini Pas Terengganu lebih mantap mengatur langkah dan keadaan. Buktinya dengan penguasaan ke atas beberapa kerusi tambahan. Prestasi yang baik ini atas kesediaan Pas memerintah kembali setelah belajar dari kesilapan lalu seperti isu penutupan tadika dan balak. Walaupun ianya isu kecil yang dibelit-belitkan media kerajaan tetapi tetap memberi kesan kepada pengundi golongan pertengahan.

Musuh menggunakan peluang bagi memburukkan imej. Rakyat menjadi mangsa keliru.
   Apa yang boleh saya simpulkan, kekalahan di Kedah ini juga anugerah agung dari Allah. Maka sahabat-sahabat sekelian, jangan bersedih dan berputus asa. Saya mengingat kembali pesanan Tuan Guru Hj Saleh (Ulama Rujukan Kerajaan Pas Negeri Kedah), "Walau apa pun jadi dengan Pas, dihempap badai, tergolek pun, mesti tetap duduk dalam Pas. Bantu dan terus berjuang. Golongan dunia tu nanti Allah akan keluarkan. Tugas kita adalah berjuang." Duhai teman-teman, perjuangan kebenaran kita mesti disuburi dengan siraman ilmu. Ambil semula roh Uhud dan Khaibar untuk tekun menadah ilmu. Medan mendatang kita lebih mantap dalam saf pejuang.

Salam perjuangan.
Azhar Ghazali

*Sewaktu saya menyiapkan tulisan ini, dapat berita kematian Ust Azizan, Bekas Menteri Besar Kedah. Seperti jatuh ditimpa tangga. Namun berita ini dinafikan S/U Ust Azizan mengatakan beliau hanya tidak sedarkan diri selepas disuntik. Wallahua'lam.

Wednesday, February 13, 2013

TAK MINAT VALENTINE

Oleh Azhar Ghazali 


Tak Minat Valentine

Malam ini aku nak balik Kedah. Walhal baru pagi tadi sampai KL. Memang depa kata betoi la, KL Kedah ni boleh jadi sebelah-sebelah. Esok malam kena mai KL balik. Kalau tak kerana program dan tanggungjawab memang tak larat juga nak ulang alik kerap-kerap.
Esok tanggal 14 Feb 2013. Tarikh yang tak asing lagi bagi mat-mat cintan dengan cikaronya. Valentine Day. Walau tidak mendapat restu syariah Islam tapi ia tetap disambut meriah. Tadi pun jumpa sorang mamat tengah khusyuk beli bear nak kasi buah hati sempena Valentine.
Adakah Islam menghalang untuk kita berkasih sayang? Kata Islam itu agama yang memupuk kasih. Ya benar, Islam memang agama memupuk kasih sayang. Nabi SAW pernah bersabda;

لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ

"Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga ia mengasihi saudaranya seperti dia mengatasi dirinya sendiri"   [HR Bukhari & Muslim]

Tapi Islam tidak menggariskan bahawa kasih sayang hanya dirai pada hari yang tertentu sahaja bahkan ia dirai pada setiap hari, masa dan saat. Begitu juga Islam tidak menyuruh umat berkongsi kasih dengan orang yang tidak layak, kasih hanya untuk yang layak. Layakkah kasih yang hanya buat suami atau isteri tercinta dengan peroleh pahala dan memenuhi kriteria kesopanan tiba-tiba dikongsi dengan bukan suami/isteri serta mengundang murka sang Pemilik Cinta. Ini adalah tidak adil atau dalam erti kata meletak perasaan kasih sayang bukan pada tempatnya.

Aku lebih gemar guna word "Islam tidak berminat menyambut Valentine" berbanding "Islam mengharamkan Valentine". Di sudut syariah hukumnya memang begitu namun di sudut penerangan, teknik bahasa dakwah perlu dipotensi di situ. Jika tidak, Islam hanya terkenal sebagai agama yang mengHARAM, mengHARAM dan mengHARAM. Kerja menghukum saja.

Pujian buat Kelab Remaja Teratak Ilmu Hj Abd Majid. Setelah memutuskan Valentine tidak disambut remaja muslim, satu program besar dianjur di Dataran Stesen Bas Kuala Ketil menjelang Valentine. Program diberi nama Tazkirah Muzika No Valentine cukup menarik. Susunan program dengan band gitaris geng muda diikuti tazkirah pendek dan ringkas. Sebelum kumpulan burdah/qasidah mula mengemudi muzika, cabutan bertuah bagi yang bertuah.

Ringkas dan padat. Lebih jelas bila video khas Valentine ditayang. Ini alternatif hiburan ilmiah yang disediakan setelah mengajak si muda belia meninggalkan jalan lama. Tidak hanya menghukum sebaliknya menunjuk cara.

Sejarah Valentine mengisahkan seorang paderi bernama Saint Valentino telah berusaha keras dari segi idea dan tenaga untuk Ratu Isabela bagi menjatuhkan kerajaan Islam Cordova dan orang-orang Islam dibunuh hinggakan nama Valentine terkenal dan diubah perspektifnya kepada hari kasih sayang kononnya. Warta yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor ini disebut semula menjadi jawapan kepada anak muda setelah bingung mengapa Islam tidak berminat dengan Valentine.

Ala kullihal moga program akan berjalan dengan lancar dan memberi faedah yang besar buat umat.

Tuesday, January 15, 2013

HANYA 3 ILMU

Oleh Azhar Ghazali 
FB : www.facebook.com/im.azharghazali

Hanya Tiga Ilmu

Dunia haqhi ni terkenal sebagai dunia tanpa sempadan. Semuanya dapat dicapai dengan mudah. Perhubungan dan maklumat di hujung cari. Sekali kelik setalam terhidang. Tiada yang mustahil. Manusia hidup mengejar kesenangan. Berlumba-lumba siapa lebih hebat. Siapa lebih gah. Dari peringkat atas sampai ke akar umbi.

Dalam kerajaan pemimpin cakar-mencakar untuk dapat kuasa. Di sektor kerjaya, staf bodek-membodek untuk berpangkat. Peringkat masyakat pula, ketua saling jatuh-menjatuh untuk kekal. Hatta di masjid, ahli jawatankuasa buruk-memburuk untuk menang jawatan. Teghuih sampailah budaya haprak ini memecah benteng tempat paling mulia, dalam institusi pendidikan. Di IPT dengan fitnah dan ampunya, di sekolah rendah pun ada, adu dombanya atau tuduh-menuduh.


Tak kira la macammana cara sekalipun yang kita guna untuk terus hidup tapi ada dak ruang kita sediakan untuk agama dalam setiap apa yang kita buat walaupun secebis. 

Haqhi ni kita nampak lemah dalam aspek kehidupan kerana lemahnya penguasaan kita dalam perihal agama. Kenapa? Barangkali kita keliru dengan aliran pendidikan itu sendiri.

Qhamai yang bertanya kepada saya tentang ini. Dalam Islam, soal menuntut ilmu sangat diberi keutamaan. Apa saja ilmu. Bagi saya, mungkin mudah kalau kita lihat ilmu ini dibahagikan kepada dua. 1.Ilmu fardhu ain. 2.Ilmu fardhu kifayah.

Ilmu fardhu ain adalah paling utama. Ianya hanya merangkumi 3 ilmu sahaja. Selain dari tiga ilmu ni, tak kiqha la samada tajwid ka, matematik ka, kimia ka, sejarah ka, sains dan segala subjek adalah dikira ilmu fardhu kifayah. Kedua-dua ilmu ini wajib, kerana itu disebut fardu yaitu fardhu ain dan fardhu kifayah. Tapi yang patut diberi keutamaan adalah fardhu ain terlebih dahulu.


Tiga ilmu dalam fardhu ain adalah 1.Akidah (Tauhid), 2.Syariah (Fiqh) dan 3.Akhlak (Tasauf). Akidah adalah ilmu yang membentuk ideologi, pemikiran, kepercayaan, keyakinan, pegangan dan ikatan hati. Seperti mana soal kewujudan Allah, syurga, neraka, alam kubur dan perihal iman atau kepercayaan yang lain.

Ilmu akidah tidak seperti ilmu syariah atau fiqh kerana syariah bukan ilmu yang jenis teori dan yakin tetapi ia adalah suatu bentuk pengamalan seperti solat, zakat, haji dan umrah. Ia memang dilakukan, dipraktikkan. 

Dalam ilmu syariat/fiqh ini terbahagi kepada empat. 
1.Ibadah seperti solat, puasa, haji dan umrah. 
2.Muamalat seperti urusan jual beli, perjanjian dan sebagainya. 
3.Munakahat iaitu nikah kawin, cerai, kekeluargaan hinggalah zuriat. 
4.Jinayat yaitu perundangan, institusi kehakiman, tuduhan, pembelaan dan sebagainya.


Adapun ilmu akhlak/tasauf pula, ianya adalah ilmu yang melengkapkan seorang mukmin dengan akhlak yang dikehendaki dalam Islam. Berakhlak seperti Rasulullah. Ia membicarakan soal akhlak luaran (fizikal) seperti kebersihan, pemakaian, pertuturan, perilaku akhlak. Manakala akhlak dalaman (rohani), tasauf mendidik agar menyingkir sifat-sifat mazmumah dan menggantikan ia dengan sifat mahmudah.


Inilah serba ringkas yang dapat saya jelaskan. Bagi memudahkan lagi para pelajar yang baru di bidang ini, untuk mendalami ilmu tauhid, belajarlah kitab Cahaya Pengenalan, Ar-RIsalah at-Tauhidiyyah, Misbahul Munir. Ilmu fiqh, belajarlah kitab Hidayatus Sibyan dan Matla'al Badrain. Bagi Tasauf, pelajarilah kitab Penawar Bagi hati, Minhajul Abidin dan Hikam.

Buat pada ibu dan ayah, janganlah menganggap bahawa anak anda ketinggalan zaman atau tiada masa depan bila mana mereka menuntut di jalur agama. Masa depan mereka sebenarnya sangat cerah, lebih cerah dari kita. 

Kerana masa depan yang dimaksudkan baginda Nabi SAW adalah hari selepas kematian. Siapalah yang akan mendoakan kita kalau bukan anak yang mengenal agama dan menghormati kedua orang tuanya.

Sunday, January 13, 2013

SENYUMAN UNTUK KL

Oleh Azhar Ghazali
FB : www.facebook.com/im.azharghazali
Senyuman Untuk KL

Assalamualaikum.. Apa habaq semua? Hope sihat dan kualiti ibadah pun semakin meningkat.. Memang lama sangat-sangat tak update blog. Bukan kata sibuk sangat pun, tapi memang ada ja gheja yang nak kena setle. Kadang-kadang tertanya juga, bila agaknya aku ada masa nak boleh lepak-lepak, huhak huhak, menulis, update etc.

Semakin hari umuq kita semakin bertambah, aku pernah tengok ceqhita 8 jam lakonan Shaheizy Sam dengan Yana Samsudin. Bukan pada lakonan dalam ceqhita tu tapi skrip. Antara skrip yang membuatkan aku rasa ada point dalam ceqhita ni, mak sentap juga tu bila mana sam petik kata-kata Imam Ghazali "Perkara yang paling jauh adalah masa yang berlalu. Perkara yang paling dekat pula adalah kematian."


Semalam aku gi Kuliah Ustaz Azhar Idrus. PA dia, Abg Jai minta aku hantarkan surat jemputan dan soalan untuk Wacana Al-Quran di Kuantan 2 Feb ni. Memang first time sebenarnya aku pi kuliah UAI sebagai pendengar. Kagum betui, kuliah agama tapi dapat tarik mat-mat dan minah-minah yang memang tak tutup aurat dan dressing ragged punya.

Apa yang nak dikatakan, adalah pelbagai ragam manusia hari ni. Dan tak kurang juga usaha alim ulama dalam membantu umat supaya sentiasa ada di atas jalas redhanya.  Dengan apa yang Imam Ghazali pesan tadi, membuatkan aku terbayang, macammana la agaknya keadaan masa di Mahsyar nanti. Tempat yang tiada teduh bagi si fakir amalan. Tempat yang tiada kenderaan bagi orang yang muflis pahala.

Sejak aku mai KL ni (tahun 2010), macam-macam yang aku belajaq. Dan aku mula faham apa sebab dulu orang tua-tua dok susah hati bila anak-anak depa nak mai KL. Tapi aku pun pikiaq juga, apa beza KL dengan Kedah. Habis tu, orang yang beqhanak-pinak di KL tu macam mana pulak. Hari ni aku dapat jawapan, semua tu adalah atas diri kita. Alim macamna pun, ilmu banyak mana pun, tetap akan jatuh kalau fungsi iman dan taqwa gagal dipraktikkan. Dhaif macamna pun tetap boleh bangun kalau jaga betui-betui iman dan taqwa.


Di KL, suasana ilmunya lebih meriah berbanding di kampung-kampung. Masyarakatnya lebih agresif berbanding di kampung. Lebih komited, kreatif, dan bersistematik. Dah masuk tahun keempat aku servive hidup kat sini. Macam-macam aku belajaq. Banyak jalan dah hapai. Qhamai kawan dah kenai. Dan keluarga juga mungkin akan dibina di sini. Wah ni statement ka? Tak tau la.

Terima kasih KL. Di hujung-hujung ni aku ada harapan agar satu hari nanti KL ni akan bertukar menjadi BANDARAYA AKIDAH yang membuatkan penghuninya sentiasa bersedia untuk mati dan menghadap Allah. Pergh!! Cayalah KL.. Thanks Allah..

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | ewa network review