Tuesday, August 27, 2013

NAZAR

Oleh Azhar Ghazali (UAG) 
FB : www.facebook.com/im.azharghazali

Nazar

Pengertian Nazar
Nazar dari segi bahasa bermakna perjanjian yang baik atau yang buruk manakala dari segi syara' pula dikhususkan kepada perjanjian yang baik sahaja.

Menurut istilah ulama fiqh, nazar bermaksud membuat iltizam untuk melakukan sesuatu kebajikan yang tidak wajib dari segi syara', samada dikaitkan dengan sesuatu ataupun tidak.

Pertama : Dalil pensyariatan nazar dan wajib menunaikan berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah.

1. Al-Quran :
Firman Allah SWT yang bermaksud :
"(Mereka dikurniakan kesenangan itu kerana) mereka menyempurnakan nazarnya (apatah lagi yang diwajibkan Tuhan kepadaNya), serta mereka takutkan hari (akhirat) yang azab siksanya merebak di sana sini".
[al-Insan ; 7]
Dan lagi firman Allah SWT yang bermaksud :
"Dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya".
[al-Hajj ; 29]

2. Al-Sunnah :
Daripada Aisyah RAA, sabda Nabi SAW yang bermaksud :
"Sesiapa yang bernazar mentaati Allah hendaklah dia mentaatinya, dan sesiapa yang bernazar untuk berbuat maksiat terhadap Allah janganlah dia melakukannya".
[HR Bukhari]

Daripada Imran bin Husain, Nabi SAW bersabda tentang mereka yang tidak menunaikan nazar :
Maksudnya : "Selepas kamu nanti akan terdapat golongan yang khianat, tidak beramanah, menjadi saksi tanpa diminta, bernazar tetapi tidak menunaikannya dan masing-masing kelihatan gemuk-gemuk belaka".
[HR Bukhari & Muslim]


Hukum Bernazar
Nazar ialah jenis ibadah yang disyariatkan untuk mendampingi Allah SWT. Justeru, menurut ulama fiqh, ia tidak sah daripada orang kafir. Bagaimana, seseorang itu afdhal terus melakukan ibadah yang dikehendaki tanpa membuat iltizam dengan bernazar. Ini bererti, sedekah yang dilakukan oleh seseorang secara bebas (اختيار) sebagai ibadah mendampingi Allah SWT lebih baik daripada sedekah yang dinazarkan.

Ini berdasarkan hadith Rasulullah SAW melarang seseorang bernazar, sabdanya bermaksud :
"Ia tidak boleh menolak sesuatu tetapi dengan nazar yang dibuat, si bakhil terpaksa menunaikannya".
[HR Bukhari & Muslim]

Ini bererti, nazar yang dikaitkan dengan sesuatu tidak akan mengubahnya sebagaimana yang ditetapkan oleh qadha' Allah. Ia hanya merupakan cara si bakhil memastikan dirinya berbelanja dan bersedekah. Ini kerana dia sendiri mengetahui bahawa sekiranya tidak menjadi wajib dengan sebab nazar itu, dia tidak akan mampu memaksa dirinya mengeluarkan belanja dan sedekah tersebut.

Monday, August 26, 2013

ZAKAT

Oleh Azhar Ghazali (UAG) 
FB : www.facebook.com/im.azharghazali

Zakat

   Perkataan zakat (الزكاة) diambil daripada (زكا الشىء) yang bermaksud sesuatu itu bertambah dan subur. Begitu juga (زكا الزرع وزكت التجاره) yang bermaksud tanam-tanaman dan perniagaan subur (maju) dan bertambah.

Zakat juga beerti bersih. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT :

قد أفلح من زكاها
Maksudnya : Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan).
[asy-Syams ; 9]

Berdasarkan ayat di atas, orang yang berjaya adalah orang yang membersihkan dirinya daripada segala akhlak yang buruk. Pengertian zakat menurut istilah syara' ialah kadar tertentu yang diambil daripada sebahagian harta tertentu, yang wajib diberikan kepada golongan tertentu apabila cukup syarat-syarat yang ditentukan.



Harta yang diberikan kepada golongan tertentu itu dinamakan zakat. Ini adalah kerana pengagihan tersebut dan dengan doa penerimanya akan menyebabkan baki hartanya menjadi subur dan bertambah berkat. Mengeluarkan zakat juga beerti membersihkan harta daripada sebarang perkara syubhah. Dengan kata lain ia akan mengeluarkan hak orang lain yang ada dalam harta berkenaan terutama hak orang yang benar-benar berhajat dan memerlukannya.

Sejarah Pensyariatan Zakat
Pendapat ulama yang sahih menyatakan zakat mula disyariatkan pada tahun kedua setelah Nabi SAW berhijrah ke Madinah tidak berapa lama sebelum ibadah puasa difardhukan ke atas umat Islam.

Hukum dan Dalil Pensyariatan Zakat
Zakat merupakan rukun Islam yang paling penting. Hukum zakat mempunyai dalil-dalil muktamad (القطعى) dari sudut petunjuk (الدلالة) dan thabitnya. Ia menjadikan hukum zakat itu jelas dan mesti (wajib) diketahui dari sudut agama. Oleh itu hukum orang yang menafikan wajib zakat adalah zakat.
Hal ini bedasarkan firman Allah SWT yang bermaksud :

"Dan dirikanlah kamu akan sembahnyang dan keluarkanlah zakat"
[al-Baqarah ; 43]

Perintah mengeluarkan zakat disebut sebanyak 32 kali di dalam al-Quran. Menurut sunnah, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Islam itu dibina atas lima perkara : Bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad utusan Allah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan haji dan berpuasa di bulan Ramadhan".
[HR Bukhari dan Muslim]

Hadith seterusnya, Rasulullah SAW bersabda kepada Mu'az RA ketika baginda mengutuskannya ke Yaman :
Maksudnya : "Jika mereka mematuhi perkara itu, beritahulah mereka bahawa Allah mewajibkan zakat ke atas mereka yang diambil dari orang kaya lalu diagih-agihkan kepada orang fakir di kalangan mereka".
[HR Muslim]

Hikmah dan Faedah Zakat
Zakat mempunyai hikmah dan faedah yang banyak. Ia adalah untuk kebaikan pengeluar zakat dan juga penerimanya. Faedah zakat juga dapat dinikmati oleh individu dan masyarakat. Antara hikmah dan faedah tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Amalan berzakat boleh mambiasakan diri pengeluarnya supaya bersifat pemurah dan suka mengerjakan ibadah qurban. Amalan itu juga boleh membuang sifat kedekut dan unsur-unsur bakhil. Hakikat ini dapat dirasai oleh pengeluar zakat dan dia juga menyedari bahawa zakat itu lebih ketara kepada penambahan harta daripada menguranginya.

Sepertimana yang ditegaskan oleh Rasulullah SAW dengan sabdanya yang bermaksud :

"Zakat itu tidak mengurangi harta".
[HR Muslim]

Persoalannya : Bagaimanakah dikatakan zakat itu akan mengurangi harta, sedangkan Allah memberkati harta yang tinggal dengan sebab berzakat?
Jawapan : Allah akan menjauhkan harta tersebut daripada sesuatu yang memudharatkannya dan memeliharanya daripada gangguan manusia. Selain daripada perkara tersebut, Allah juga menunjukkan cara-cara untuk memanfaatkan dan mengembangkan harta tersebut kepada pemiliknya. Di samping itu, Allah memberikan ganjaran pahala yang besar kerana mengeluarkan harta semata-mata untuk keredhaanNya.

Kedua : Zakat boleh menguatkan hubungan persaudaraan dan kasih sayang antara pengeluar zakat dengan orang lain. Apabila kesedaran ini wujud dalam masyarakat, setiap orang Islam mampu menunaikan kewajipan mengeluarkan zakat kepada pihak yang berhak menerimanya. Ianya dapat dilihat betapa eratnya jalinan kasih sayang sesama individu di kalangan orang Islam dan masyarakat keseluruhannya.

Ketiga : Berperanan untuk memastikan sesebuah anggota masyarakat itu menjad sempurna. Meskipun begitu, terdapat pelbagai keadaan dan unsur-unsur yang meluaskan jurang perbezaan taraf sosial iaitu bertambahnya golongan yang memerlukan bantuan serta golongan fakir. Zakat berfungsi memelihara masyarakat daripada jurang perbezaan taraf sosial yang ketara.

Keempat : Zakat memainkan peranan dalam menangani masalah pengangguran. Antara sebab utama yang menyumbang kepada pengangguran ialah kemiskinan. Orang yang miskin tidak mempunyai modal yang minimum untuk menjalankan sesuatu perusahaan atau pekerjaan. Oleh itu, jika sistem zakat berjalan mengikut haknya, sudah tentu orang yang miskin berhak menerima bahagian dan membolehkan mereka menjalankan perusahaan yang dirancang sesuai dengan kemahiran dan kelayakan yang ada pada mereka.

Kelima : Zakat merupakan cara yang dapat membersihkan hati daripada sifat-sifat keji yang memberi kesan kepada masyarakat, iaitu sifat berdendam, iri hati dan hasad dengki. Bagaimanapun sifat tersebut akan menjadi barah dalam masyarakat jika tiada lagi sifat berkasih sayang, tolong-menolong dan saling bersimpati. Fenomena ini bukan hanya propaganda yang dilaung-laungkan sahaja malah ia telah menjadi satu realiti yang nyata dan bukan fantasi yang direka. Apabila zakat dilaksanakan, hasilnya akan jelas kelihatan dan kesannya yang menakjubkan. Oleh itu, ia dapat membersihkan jiwa daripada sifat hasad dengki dan iri hati serta dapat mengeratkan hubungan persaudaraan sekalipun mereke berbeza dari segi kemewahan dan kekeyaan. Ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud :


"Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan menyucikan mereka (dari akhlak yang buruk)".
[at-Taubah ;103]

Hukum Orang Yang Enggan Mengeluarkan Zakat
Pertama : Orang yang enggan mengeluarkan zakat kerana mengingkari kewajipannya.
Zakat merupakan rukun Islam ketiga selepas mengucap dua kalimah syahadah dan mendirikan solat. Oleh itu ulama bersepakat menyatakan bahawa orang yang menentang dan mengingkari zakat adalah kafir dan murtad. Darahnya halal dibunuh sekiranya tidak bertaubat. Ini kerana zakat perkara yang mudah diketahui kefardhuannya di kalangan orang Islam yang tidak memerlukan kepada hujah dan dalil.

Imam Nawawi RH menukilkan di dalam kitab al-Khattabi dengan menyatakan : "Sesiapa yang mengingkari kewajipan berzakat pada masa ini adalah kafir berdasarkan ijma'". Katanya lagi : "Pengetahuan tentang kewajipan berzakat telah tersebar luas di kalangan orang Islam sehingga telah diketahui oleh rakyat dan penguasa, termasuk orang alim dan jahil. Oleh itu tiada alasan bagi sesiapapun membuat tafsiran sendiri untuk mengingkarinya. Begitulah juga hukumnya bagi orang yang mengingkari sesuatu perkara agama yang telah disepakati oleh ulama seperti solat lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, mandi junub, pengharaman zina, perkahwinan dan hukum-hukum yang lain".


 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | ewa network review