Thursday, April 5, 2012

DIDIK ANAK DENGAN DENDA DAN HADIAH


Oleh
Azhar Ghazali 

Didik Anak Dengan Denda dan Hadiah

Anak-anak adalah aset yang paling berharga bagi ibu dan ayah. Ramai para ibu menangis bila tidak punya anak. Kekayaan tidak memberi apa-apa kegembiraan bila tidak punya anak. Anak bagaikan permata yang tidak ternilai. Jika diberi pilihan untuk mengorbankan anak atau segala hartanya, si ibu dan ayah pasti akan memilih harta. Itulah nilai seorang anak pada hakikatnya.

Namun ada juga yang punya anak. Ramai, sihat-sihat tetapi tidak punya kebahagiaan. Hingga anak itu dianggap bala terbesar buatnya. Ada juga ibu ayah yang di kala hidupnya sangat menyayangi anaknya. Tetapi bila si ibu atau bapa meninggal, anak-anak tidak dapat membantu apa-apa hatta doa keduanya. Si anak tidak mampu membaca yaasin atau al-Quran untuk arwah ibu dan ayahnya.

Harta peninggalan yang diamanahkan tidak dapat dimanfaatkan anak untuk jariah atau saham untuk ibu dan ayah. Walhal diguna untuk keseronokan semata2. Kesimpulannya sikap, pemikiran dan kesolehan anak itu bergantung pada didikan si ibu dan ayah.

Dalam persoalan mendidik ini ramai para ibu dan bapa yang keliru. Apakah tindakan yang sewajarnya perlu dilakukan. Ape nak kena buat bila anak jadi begini. Apa nak kena buat bila anak tak nak belajar dan sebagainya. Sebagai ibu dan ayah, sepatutnya memberikan didikan agama bermula dari kecil. Tidak ada istilah had umur dan sebagainya. Ini kerana agama itu adalah jalan hidup. Maka tentunya si kecil baru mengenal kehidupan ini memerlukan jalan hidupnya. Tetapi bersesuaianlah dengan tahap pemikirannya.

Dalam mendidik anak-anak, isu hukuman sememangnya menjadi keutamaan. Adakah Islam itu kerjanya hany menghukum? Tidak, Islam bukan agama yang menghukum tetapi ia agama yang mendidik. Maka lebih elok kita tukar perkataan 'hukuman' itu menjadi peringatan. Sememangnya manusia memerlukan peringatan. Baik kanak-kanak mahupun dewasa.

Allah juga menyebut "
وَذَكِّرْ فَإِنَّ الذِّكْرَى تَنْفَعُ المُؤْمِنِينَ 

"Peringat-memperingatilah, kerana sesungguhnya peringatan itu berguna bagi orang-orang yang beriman".
[سورة الذاريات: 55]

Rasulullah juga diutuskan kepada kita untuk memberikan peringatan. Peringatan supaya manusia sentiasa berada di atas landasan yang sebenar. Tidak tertipu dengan syaitan dan iblis. Tidak terikut dengan nafsu yang buta. Maka dalam proses mendidik anak-anak, peringatan itu sangat istimewa buat mereka. Kerana itu, Luqman al-Hakim menyatakan "merotan untuk mendidik anak, atau membetulkan dirinya atau untuk memberi kesedaran adalah seumpama menyiram air ke pokok yang ketandusan air".

Menilai anak-anak
Anak- anak berbeza dari segi kecerdikan, kesediaan untuk berubah dan menyahut permintaan kita. Seperti emosi mereka juga berbeza. Sebahagian anak-anak memiliki emosi tenang sederhana. Sebahagiannya pula memiliki emosi tinggi dan pemarah. Sebahagian mereka cukup ditegur dengan isyarat jauh ketika melakukan kesilapan. Sebahagian pula perlu kepada jelingan marah, sindir dan amaran. 

Sebahagian yang lain pula perlu merasai sebatan untuk diperbetulkan. Jika pukulan menjadi salah satu medium didikan, ibu bapa mesti menggunakan kaedah lain dahulu seperti amaran, menjanjikan denda, menyindir dan tidak bercakap dengan anak. 

Jika pukulan jalan penyelesaiannya, maka pukullah tetapi elakkan daripada memukul muka anak berdasarkan hadith Nabi Muhammad SAW, "Jangan memukul wajah…" 
[HR Abu Daud]

Pukulan juga hendaklah tidak kuat dan kasar sehingga memberi kesan pada psikologi anak. Alat yang digunakan untuk merotan juga hendaklah ringan dan tidak meninggalkan kesan. 

Begitu juga dengan galakan yang berupa hadiah. Sebaiknya ibu dan ayah memberikan hadiah kepada anak-anak bila mencapai sesuatu kejayaan terutama dalam hal agama. Seperti mampu berpuasa. Mampu memahami bacaan dalam solat. Mampu berjemaah ke masjid dan sebagainya.

Tetapi hadiah yang diberikan bukanlah terlalu besar. Elakkan menjanjikan sesuatu yang tidak sesuai dengan anak-anak walaupun ianya disukai mereka. Elakkan menjanjikan perkara yang kita tidak mampu berikan walaupun ianya disukai anak. Berikan apa yang termampu dan ajar anak untuk mensyukurinya.

Ini adalah antara medium pendidikan yang berkesan dalam mendidik anak-anak. Ia merupakan wasilah penting, praktis dan realistik. Jika digunakan dan dipraktikkan sebaiknya, pasti ia memberi kesan yang baik dalam mendidik anak-anak, insyaallah.

0 comments:

Post a Comment

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | ewa network review