Friday, July 20, 2012

AKIDAH RAMADHAN


Oleh 
Azhar Ghazali 
FB : www.facebook.com/im.azharghazali

Akidah Ramadhan

Pejam celik kini Ramadhan tiba lagi. Tahun lalu berpeluang sambut bulan mulia ini di tanah suci dan tahun ini di tanah air. Semestinya dapat membezakan betapa meriahnya Ramadhan di sesuatu tempat. Ianya adalah roh. Roh yang hanya dirasai oleh orang yang mencintai Ramadhan. Persoalannya apakah roh itu? Adakah ianya  dirasa pabila seseorang memaksa diri untuk solat sunat tarawih sampai 20 rakaat? Atau dirasa bila mampu memaksa diri tahan lapar dan dahaga dari pagi hingga petang.

Firman Allah yang maha agung bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan berpuasa ke atas kamu sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.
[al-Baqarah  : 183]

Dengan jelas, Allah menyatakan matlamat pensyariatan puasa itu adalah untuk mencapai 'taqwa'. Kita berfikir, bagaimana dengan menahan lapar itu mampu menjadikan orang bertaqwa? Walhal wujud situasi yang mana seseorang itu berpuasa tetapi dia tidak mengerjakan solat. Adakah puasa begini juga dikira bertaqwa.

Maknanya, soal puasa ini adalah soal keimanan, keyakinan dan tunduknya hamba kepada tuhannya. Kita boleh aje tak puasa tanpa pengetahuan sesiapa. Masuk tandas, langgah air paip. Bazar Ramadhan kini pula dibuka lebih awal. Jika dulu pukul 5 petang, sekarang ada yang dah mula pukul 12 tengahari. Maka sangat mudah untuk mendapatkan bekalan tak berpuasa. Makan diam-diam so takde sape yang tahu. Jika terkantoi pun masih boleh melepas diri dengan alasan 'terlupa niat'Jadi nampak di situ jika tidak ada iman, apa cara sekalipun boleh dibuat untuk tidak berpuasa.

Sebab itu ulama menekankan hadith nabi saw bermaksud :

"Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan setiap orang hanya memperolehi apa yang ia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya kerana Allah dan RasulNya maka hijrahnya itu kepada Allah dan RasulNya. Dan barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang akan ia memperolehinya atau kerana perempuan yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya itu kepada apa yang dihijrahkan kepadanya."
[HR : Bukhari, Muslim]

Jika niat berpuasa itu kerana malu kepada manusia, atau hanya seronok-seronok mengikut keadaan maka terjadilah berpuasa tapi tidak solat. Berpuasa lapar dan dahaga tapi mata, telinga, mulut, hati dan anggota yang lain terus mengerjakan mungkar.

Semua di atas adalah soal iman. Beribadah kerana Allah atau kerana yang selainNya. Nabi saw dengan jelas menekankan soal iman dalam berpuasa melalui hadith 'popular' Ramadhan dari Abu Hurairah yang bermaksud :

"Barangsiapa yang mendirikan malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, diampunkan dosanya yang telah lalu. Dan sesiapa yang berpuasa ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, diampunkan dosanya yang telah lalu."
[HR : Bukhari]

Dan dengan iman juga seseorang itu akan dimasukkan ke dalam syurga. Andai tidak punya iman, berpuasalah biar setahun, bertarawihlah ke siang hari nescaya tidak ada sehabuk keuntungan pun baginya. Seperti kata Imam al-Ghazali :

لا تـَصِحُّ الـْعِبَادَةُ إِلا بَعْدَ مَعْرِفَةِ الـْمَعْبُودِ

Ibadah tidak sah melainkan selepas mengenali Tuhan yang berhak disembah

Maka jadikanlah Ramadhan kali ini sebagai Ramadhan memasak iman. Dengan mendalami erti akidah agar kita mampu mengenali Allah dengan sebenar-benar kenal. Hinggakan kita mencintai Allah dan merindui Allah setiap masa dan ketika. Praktikalnya adalah dengan ilmu. Ceburkan diri dengan majlis ilmu yang membicarakan soal ilmu tauhid.

Moga Ramadhan ini membezakan takuk iman kita berbanding tahun-tahun yang lalu. Berpeganglah dengan akidah ahli sunnah wal jamaah.

0 comments:

Post a Comment

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | ewa network review