Wednesday, September 19, 2012

USAH KENANG HARI MUDA YANG JAHAT



Oleh 
Azhar Ghazali
FB : www.facebook.com/im.azharghazali


Usah Dikenang Hari Muda Yang Jahat

Nasihat Imam Ibnul Wardi :

"Jangan kau ingati hari mudamu yang penuh dengan babak-babak kejahilan, kerana hari-hari itu ibarat bintang yang tenggelam."

Keterangan : Jangan kau suka mengingati babak-babak kekurangan/ kesilapan dan segala tindakan yang kurang wajar engkau lakukan di masa mudamu. Biarlah hari-hari itu berlalu dan tak perlu diingati lagi, kerana mengingatinya akan menimbulkan rasa kejahilan dan kembali kepada alam kanak-kanak. Sebaliknya, hendaklah kamu merancang untuk masa depan yang lebih cemerlang dan teratur.

Siapa yang dapat lari dari melakukan kesilapan, kesalahan dan kekhilafan. Ada yang Allah pelihara, dia just buat dosa kecil, dan ada yang terlanjur melakukan dosa besar. Tidak ada apa yang dapat menyelamatkan seseorang itu tanpa 'taubat'. Tidak ada penyesalan maka tidak ada penyucian diri.

Dengan bertaubat, segala dosa yang lalu akan Allah ampunkan. Diri yang keji dan jijik kembali bersih di sisiNya. Namun ingatan ini tidak dapat menipu diri. Menutup dari apa yang pernah berlaku. Ingatan ini pasti sentiasa ingat lumpur hitam yang pernah terpalit di tubuh dan menutup hati. Terkadang dosa ngeri ini terus mematahkan semangat mukmin yang mula mekar. Racun dosa yang sangat berbisa ini mematikan jiwa yang mula basah dengan rahmat.

Aib ini memakan dan meratah jiwa yang tandus. Membaham tanpa kesian. Hanya air mata yang dapat menghentikannya. Walaupun ianya terpapar di lurah pipi namun ia mampu membuat diri ini merasa dekat denganNya.

Ya Allah, hanya engkaulah yang berhak menentukan syurga kami. Jangan kau putuskan tali rahmat yang menambat kami. Jauhkan kami dari najis jijik yang lalu. Kami memandang ke hadapan dengan harapan rahmatMu yang tidak pernah putus. Luas dan jauh terhampar buat pemburunya.

"Jangan kau ingati hari mudamu yang penuh dengan babak-babak kejahilan, kerana hari-hari itu ibarat bintang yang tenggelam."

Ya Rasulullah, kami merindui mu..

0 comments:

Post a Comment

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | ewa network review