Tuesday, February 21, 2012

BIDAAH AGAMA & BIDAAH DUNIA

Resources by
Mohd Al-Amin Bin Daud al-Azhari


Publish by
Azhar Ghazali
FB : www.facebook.com/im.azharghazali

Bidaah Agama dan Bidaah Dunia       

Sering kita tertanya soal kesucian amalan umat Islam yang telah menjadi tradisi sejak dulu. Seperti kenduri arwah, talqin, bacaan yasin malam jumaat, wirid/doa selepas solat, menyambut Maulid ar-Rasul dan lain-lain. Kita keliru kerana amalan ini sering dikembarkan dengan bid'ah dan dihighlightkan lagi dengan kesesatan. 

Kesannya, ia mengelirukan masyarakat. Timbul perbalahan, perpecahan dan masing-masing mengatakan pendapat dan sumber mereka paling sahih. Lebih teruk sampai tahap kafir-mengkafir.

Pokok masalah adalah faham dan salah faham bahasa sahaja. Makna bid'ah yang disalah tafsir, atau tafsirannya betul cuma tidak meluas. Lebih parah apabila timbul perasaan ego di kalangan ilmuan untuk akur atau meraikan pendapat ilmuan yang lain. 

Ada ilmuan mengambil sikap memaksa masyarakat mengikut pendapatnya sahaja kerana merasa hanya dirinya yang betul. Sedangkan kekayaan ilmu Islam meraikan khilaf (perselisihan pendapat ulama).

Pembahagian bid'ah dan di sudut bahasa
Penulis mengutarakan perbahasan bahasa pada perkataan bid'ah itu. Ada golongan yang menolak pembahagian bidaah hasanah dan bidaah sayyiah tetapi dalam masa yang sama membahagikan bidaah kepada dua. Bidaah agama dan bidaah dunia. 

Bidaah agama dan bidaah dunia ini tidak terdapat di dalam mana-mana hadis. Mereka menafikan pembahagian yang diklasifikasikan oleh para ulama’ muktabar dengan alasan tiada di dalam hadis namun mereka sendiri membuat pembahagian. 

Apakah bidaah dunia tidak terdapat hasanah (baik) dan sayyiah (buruk)? Pembahagian ini sangat bahaya seolah-olah mereka mengatakan bidaah dunia semuanya baik kerana tidak berkaitan dengan agama sedangkan kita tahu perkara-perkara duniawi juga tidak terlepas daripada pembahagian kepada baik dan buruk.

Mereka mengatakan bidaah hasanah yang dikatakan oleh Imam as-Syafie ialah bidaah pada bahasa. Sedangkan pada bahasa sudah terang lagi bersuluh bagi mereka yang mempelajari bahasa arab bahawa bidaah pada bahasa hanya merujuk kepada perkara yang sesat sahaja. 

Sebab itu Nabi SAW menyatakan kullu bid’atin dholalah kerana daripada sudut bahasa semua bidaah itu sesat adapun perkara baru yang bersifat agama mahupun dunia dan tidak bercanggah dengan umum syariat maka tidaklah dianggap bidaah yang menyesatkan. 

Disebut bidaah hasanah itu ialah untuk membezakan dengan bidaah sayyiah namun hakikatnya bidaah hasanah itu ialah sunnah hasanah. Seperti Nabi SAW membahagikan sunnah juga kepada hasanah dan juga sayyiah. 

Apakah ada sunnah yang buruk? Sudah tentu tidak tetapi penggunaan perkataan yang sama mengikut balaghah bahasa arab adalah untuk mencantikkan penggunaan dan perbezaan di antara keduanya.

Bidaah bukanlah suatu hukum di dalam menetapkan sesuatu perkara boleh atau tidak dilakukan. Kerana hukum yang ditetapkan oleh ijmak ulama’ hanya 5 yang dinamakan sebagai hukum taklifi iaitu wajib, sunat, haram, makruh dan harus. 

Pecahan hukum dalam agama
Tidak ada yang dinamakan sebagai hukum bidaah. Maka setiap perkara yang bidaah (baru) perlu dihukumkan dengan 5 hukum taklifi waimma ia wajib, sunat, haram, makruh dan harus. Bukan diborong secara memkhinzir buta. Seolah-olah semua bidaah adalah haram. 

Jika kaedah ini “semua bidaah adalah haram” yang digunakan maka pincanglah hukum dan rosaklah agama. Kerana setiap zaman akan wujud perkara-perkara yang baru yang belum di ada di zaman Nabi SAW. Maka perkara yang baru itu waimma ia bersifat agama mahupun dunia tidak akan terkeluar daripada 5 hukum yang telah dijelaskan di atas. 

Apabila konsep bidaah ditimbang dengan 5 hukum ini maka akan cantiklah agama dan jelaslah hukum dalam menentukan setiap perkara yang baru samada bersifat ibadah mahupun dunia. 

Apakah mereka mengira perkara baru yang bersifat dunia terlepas daripada 5 hukum ini? Sudah tentu tidak sama sekali. Maka tidaklah relevan membahagikan bidaah kepada bidaah agama dan bidaah dunia kerana pembahagian ini sebenarnya memakan diri mereka.

Tiada larangan maka harus
Setengah fahaman beranggapan melakukan perkara yang tidak dilakukan oleh Nabi sahaja yang dianggap bidaah. Bagaimana dengan menegah atau melarang perkara yang Nabi SAW tidak melarangnya? Tidakkah ini dikira sebagai mengubah hukum yang asal HARUS kepada HARAM? 

Contoh Nabi SAW tidak pernah melarang daripada melakukan maulid. Tidak ada dalil yang menyatakan tegahan Nabi SAW secara jelas bahkan ada hadis riwayat Muslim yang jelas Nabi SAW menyambut kelahirannya dengan berpuasa. Maka tidak wajar kita menegah dan menyatakan ia sebagai bidaah yang menyesatkan sedangkan tidak pernah ditegah oleh Baginda SAW. 

Maka perlulah berhati-hati dalam menyatakan hukum sesuatu perkara. Ia boleh menjerumuskan si pekata pula yang melakukan perkara bidaah dan berdusta di atas nama Nabi SAW. Perlu difahami, untuk menghukumkan sesuatu itu haram perlulah ada nas daripada al-Quran dan al-Hadis yang menegahnya. Ini berdasarkan kaedah usul fiqh. 

Tegahan itu terbahagi kepada dua seperti yang terdapat di dalam ta’rif hukum samada tegahan secara putus maka hukumnya haram dan tegahan yang tidak putus maka hukumnya makruh. 

Adapun sesiapa yang mengambil hukum secara borong dengan menyatakan HARAM atau BIDAAH tanpa melihat kepada dilalah samada tegahan itu membawa hukum haram ataupun makruh maka ia membahayakan dirinya, mengelirukan masyarakat dan menyempitkan agama.

1 comments:

Che Wan Mariati Che Wan Ismail said...

Uiks, kua nama penuh la plak kat page ni..buat2 xnmpk je la ye..

Article bid'ah agama & bid'ah dunia,
you are so true la encik ustaz..
good article, really agreed with this part :

" Maka setiap perkara yang bidaah (baru) perlu dihukumkan dengan 5 hukum taklifi waimma ia wajib, sunat, haram, makruh dan harus. Apabila konsep bidaah ditimbang dengan 5 hukum ini maka akan cantiklah agama dan jelaslah hukum dalam menentukan setiap perkara yang baru samada bersifat ibadah mahupun dunia."

Dalam kitab Asarul Ikhtilaf, konsep tegahan itu terbahagi kpd 10 bhgn.. just sharing ^^.

Post a Comment

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | ewa network review