Thursday, January 26, 2012

ILMU SEBAB PERPECAHAN

Oleh
Azhar Ghazali

Ilmu Sebab Perpecahan


Warna-warni kehidupan beragama hari ini bermacam rencah dan rasa. Kronologi yang subjektif memberi gambaran luasnya ilmu Islam. Kesempurnaan agama ilmu ini tidak dapat dinafikan sesiapa. Hatta tokoh pemikir barat juga mengakuinya. Dengan lautan ilmu dan monopoli pengetahuan di kalangan ilmuan Islam juga menjadi sebab Islam dijatuhkan. Kitab, manuskrip dan sumber-sumber ilmiah dirompak musuh dan diaplikasikan di negara mereka.

Terlalu banyak kesan kekayaan ilmu Islam yang merubah umatnya. Berubah dari biasa kepada martabat meninggi. Saingan di kalangan ulama juga turut terkesan pada umat. Dewasa kini, kesan ilmu tetap merombak pemikiran masyarakat. Ini kerana ia ilmu. Ilmu yang merubah apa saja. Tetapi yang diamanahkan ilmu dialah moderatornya. Ulama, dengan ilmu yang ada padanya, menjadi pemacu gaya hidup masyarakat dari segi ibadah, pegangan keyakinan, budaya kehidupan dan pemikiran.

 Dalam lipatan ilmu ini, adakala kesannya membuahkan perpecahan, pergaduhan, saling salah menyalah dan lebih kritikal membuat tuduhan sesat serta kafir. Ia berlaku bila mana sesuatu pihak memaksa pihak yang lain untuk mengikut cara pemikiran, amalan dan pegangannya. Jika tidak, maka terimalah akibatnya.

Sedihnya, golongan ilmuan yang sepatutnya membantu menyelesaikan kekeliruan dan kejahilan dalam masyarakat menjadi sebabnya. Menghabiskan masa yang banyak untuk membahaskan perkara-perkara furu’ (cabang/ranting) agama hingga terabai yang lebih penting diperbahaskan. Hal pokok dan asas prinsip agama dibiar tanpa hala tuju. Jika dibahas hanyalah ala kadar. Hal yang menjadi khilafiah (pendapat yang pelbagai), dibahas dan diketengahkan sehabis mungkin. Tidak akan berhenti membahas walaupun sudah temui jawapan atau hujah yang membolehkan. Tetap tidak akan berhenti. Sehinggalah merasa dirinya telah menang.

Kesannya adalah umat. Bagi pak alim, ia tidak menjadi masalah. Tetapi bagi si muda yang baru berjinak dengan agama, mengenal budaya dan kemurnian agama. Terus terkejut dan tidak mempu berfikir dengan ilmu sejengkalnya. Ini memberi perspektif bahawa Islam yang syumul ini telah dicemari. Kerana si muda tidak arif soal furu’, khilafiyah, ijma’(persepakatan ulama) dan qias. Ini mengelirukannya.

Sebagai contoh amalan bertahlil, bertalqin. Pernah diperbahaskan hinggalah ulama yang mempertahankannya membawa datang hujah-hujah yang menyokong harusnya amalan ini. Barulah terdiam seketika. Jika sebelum itu hangat hingga peringkat bid’ad membid’ah, sesat menyesat. Perbalahan ilmu juga berlaku dalam penafsiran dan ta’wil ayat Al-Quran seperti maksud Allah mempunyai tempat duduknya, rupa tangan Allah dan banyak lagi.

Soalnya mengapa diperjuangkan perkara furu’ dan khilafiyah. Ulama mengenengahkan amalan membaca yaasin malam jumaat, wirid, doa lepas solat, tawasul dan sebagainya. Tidak bermasalah bahkan sangat baik dengan bersumberkan pengetahuan al-Quran dan sunnah. Dan tiada larangan melakukannya. Isu tahlil, langsung jelas apa terkandung dalam kaifiat (kaedah melakukannya) tidak ada unsur-unsur yang samar. Ianya bait-bait dari al-Quran, selawat, zikir dan doa yang dimodulkan. Hadiah dari ulama buat masyarakat sebagai rutin yang mulia.

 Alasan untuk membid’ahkan tahlil adalah kerana menyediakan jamuan. Adalah salah? Soal jamuan bukan sebab untuk mengharamkan atau membid’ahkan amalan tahlil. Makan itu adalah ihsan tuan rumah. Ianya soal yang lain. Jika majlis tahlil tanpa jamuan, juga tidak bermasalah. Bahkan kerap saja kita menghadiri tahlil, bacaan yaasin dan majlis seumpamanya tanpa jamuan.

Sebenarnya amalan-amalan tersebut jelas dan tidak bermasalah. Kerana apa? Kerana yang mendasari amalan tersebut adalah ulama. Ulama yang mewarisi kerja nabi. Ulama adalah orang yang berpengetahuan. Pengetahuan yang bersumberkan al-Quran dan Sunnah. Ia diindahkan lagi dengan sokongan, pendapat dan kaedah syariah.  Maka tidak wajar menyalahkan ulama hanya kerana ia tidak sependapat dengan kita atau guru kita. Maka senang-senang kita membid’ahkan ulama.

Sebaliknya mestilah bersikap terbuka. Meraikan pendapat selagi ia tidak terang-terang bertentangan dengan syariah. Dan tidak ada hujah langsung dalam pelaksanaannya. Jika ianya salah, syirik dan ternyata tidak ada hujah yang menyokongnya maka wajib diperangi.

       Namun ia tetap boleh ditangani, diubah dengan menggunakan pendekatan ilmu dan dakwah tersendiri. Dengan kaedah menyucikan amalan itu dari unsur-unsur yang salah dan sesat. Maka ia menjadi harus. Maksudnya bukan semua perkara itu terus dianggap sesat bila ada secalit kekotoron yang ternyata boleh dicuci. Jadilah ilmuan yang membantu, bukan membuntu. Tidak menunjuk tapi hanya mencari salah pihak yang lain dan mengatakan hanya dirinya yang betul.

Hilangkan keegoan untuk memaksa sesiapa sahaja mengikut pendapat sendiri. Akhirnya orang awam menjadi keliru. Ustaz ini kata ustaz itu salah, Ustaz itu kata ustaz ini salah. Keliru dan akhirnya terus berada dalam kejahilan. Bagi yang taksub, maka ia mewarisi gurunya dalam melakukan perpecahan beralasankan perkara yang furu’.

Islam itu indah. Indah dengan ilmunya. Ilmunya menjadi penyelamat umat. Dan dengan ilmunya juga golongan penguasa ilmu memacu kekuatan umat bukan 'perpecahan' umat.

0 comments:

Post a Comment

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | ewa network review