Saturday, January 28, 2012

MARTABAT ORANG YANG BERPUASA

Oleh
Azhar Ghazali
FB : www.facebook.com/im.azharghazali

Martabat Orang Yang Berpuasa

Orang yang berpuasa ada tiga martabat:

Martabat pertama : puasa orang awam. Yakni puasa orang biasa iaitu meningalkan makan, minum, jimak, dan menjaga daripada segala perkara yang membatalkan puasa.

Martabat kedua : puasa orang pilihan. Yakni puasa orang soleh dan orang yang bertakwa, iaitu menahan diri dari perkara-perkara yang disebut pada martabat yang pertama. Dan menahan segala anggotanya daripada berbuat maksiat dan daripada berbuat perkara yang sia-sia yang tidak memberi manfaat untuk kehidupan akhirat.

Lima perkara yang membatalkan pahala puasa:
1.Berbohong. 
2.Mengumpat. 
3.Mempelagakan orang (batu api pergaduhan). 
4.Bersumpah dusta/palsu.
5.Melihat suatu dengan syahwat (keinginan).

Hasil kesempurnaan puasa itu tujuh perkara;

1.Menjaga mata daripada melihat perkara yang haram, makruh, dan yang harus  tetapi melalaikan hati daripada mengingati Allah.

2. Menjaga lidah daripada perkataan yang haram, makruh dan yang sia-sia serta tiada manfaat di akhirat.

3. Memelihara telinga dari mendengar yang haram, yang makruh, dan yang sia-sia serta tiada manfaat diakhirat.

4. Memelihara tangan dan kaki dari melakukan sesuatu atau berjalan untuk perkara haram, makruh dan sia-sia.

5. Memelihara perut, ketika berbuka dan makan sahur daripada makanan yang haram, syubhah, makruh, dan makan berlebih-lebihan. Kerana tiada faedah menahan diri daripada makan dan minum pada siang hari sedangkan pada ketika berbuka dan bersahur perut diisi dengan makanan/minuman haram atau syubhah.

6. Mengurangkan makan ketika berbuka dan berbuka dengan makanan yang halal.

7. Selepas berbuka, letakkan perasaan raja dan khauf di dalam hati yakni harap Allah menerima puasa, dan takut Allah tidak menerima puasa.

Martabat ketiga : Puasa orang pilihan daripada yang terpilih. Yakni puasa orang yang hampir kepada tuhan (segi martabat, bukannya jasad) dan puasa orang yang benar-benar mengenal Allah (a’rif billah). Mereka itu menjauhkan keinginan dunia dari bersarang dalam hatinya dan memikirkannya. Mengosongkan hati dari perkara yang lain dari Allah. Mereka itu sentiasa musyahadah kepada Allah yakni sentiasa melihat Allah dengan mata hati. Ini martabat para nabi dan wali-wali Allah. والله اعلم

0 comments:

Post a Comment

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | ewa network review